Permata purba Piprahwa 'dipulangkan' kepada muzium India

Permata purba Piprahwa ‘dipulangkan’ kepada muzium India

PERDANA Menteri India, Narendra Modi, melihat permata purba yang dikaitkan dengan Buddha semasa pameran di New Delhi, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Permata purba yang dikaitkan dengan Buddha dipamerkan di India buat kali pertama pada Sabtu, sejak dibawa keluar semasa era kolonial.

Permata Piprahwa, koleksi lebih daripada 300 batu permata dan perhiasan yang dipercayai ditanam bersama peninggalan Buddha di tapak stupa utara India, dipamerkan secara rasmi dalam satu pameran di New Delhi.

“Peristiwa bersejarah ini menandakan penyatuan semula peninggalan permata Piprahwa Dewa Buddha, yang dipulangkan selepas 127 tahun,” kata Kementerian Kebudayaan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, permata tersebut dipamerkan ‘buat kali pertama’ sejak penggalian British pada 1898 yang menemukannya, sebelum tersebar di seluruh dunia.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika merasmikan pameran itu menyifatkannya sebagai hari istimewa untuk mereka yang meminati sejarah, budaya dan falsafah Buddha.

Batu permata itu, yang berasal sekitar 200 Sebelum Masihi, ditemukan pada 1898 oleh jurutera penjajah British, William Claxton Peppe, di Piprahwa, negeri Uttar Pradesh.

Pihak berkuasa India berkata, tulisan pada peti yang digali bersama harta karun itu mengesahkan kandungannya, termasuk serpihan tulang, sebagai peninggalan Buddha.

Walaupun kebanyakannya diserahkan kepada pihak berkuasa penjajah dan sebahagiannya disimpan di Muzium India di Kolkata, Peppe mengekalkan sebahagian besar permata itu sebagai khazanah peribadi.

Pada Mei tahun lalu, cicit Peppe, Chris Peppe, menjual batu permata tersebut.

Permata tersebut disenaraikan untuk dilelong oleh Sotheby’s di Hong Kong, dengan bidaan bermula AS$1.2 juta (RM4.86 juta), dan pakar menjangkakan nilainya mungkin 10 ganda lebih tinggi.

Namun, lelongan itu dibatalkan selepas Kementerian Kebudayaan India mengeluarkan perintah undang-undang menyatakan permata itu sebagai ‘warisan agama dan budaya yang tidak boleh dipindah milik oleh India serta komuniti Buddha di seluruh dunia.

Ia kemudiannya dibeli oleh konglomerat India, Godrej Industries Group, dengan kerjasama kerajaan India.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN