Penyeludup campak gula, minyak masak ke atas jalan elak dicekup

Penyeludup campak gula, minyak masak ke atas jalan elak dicekup

KENDERAAN dan barangan bersubsidi yang berjaya dirampas menerusi operasi bersepadu di Kampung Cherang, Chabang Empat, Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan hari ini-IHSAN KDPN KELANTAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sindiket penyeludupan bertindak agresif apabila mencampakkan gula dan minyak masak ke atas jalan raya bagi menghalang pergerakan seterusnya menggelakan mereka dari cekup pasukan penguat kuasa.

Kejadian pukul 10.45 pagi itu berlaku ketika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin mengekori sebuah pacuan empat roda yang disyaki membawa minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar secara tidak sah.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Aswadi Jaafar berkata, menyedari kenderaan mereka diekori, suspek bertindak nekad dengan membaling beberapa bungkusan gula dan kotak minyak masak ke atas jalan raya.

Katanya, tindakan itu dipercayai bagi menghalang pergerakan pasukan penguat kuasa selain cubaan melupuskan bahan bukti.

“Kenderaan itu kemudiannya dikesan memasuki kawasan Kampung Cherang, Chabang Empat Tok Mek Ngah sebelum berhenti dan pemandu serta kelindan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan mendapati sejumlah besar minyak masak bersubsidi dan gula pasir kasar disimpan di dalamnya,” ujarnya.

Aswadi berkata, anggota bertugas kemudian mengutip semula barang kawalan yang dibuang di sepanjang laluan kejadian untuk tujuan pengiraan dan siasatan.

“Hasil rampasan dianggarkan melibatkan lebih 300 kilogram minyak masak bersubsidi dan 700 kilogram gula pasir kasar.

“Kesemua barangan termasuk kenderaan di sita dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN