Penutupan ladang babi: Exco jumpa persatuan perniagaan Cina

Penutupan ladang babi: Exco jumpa persatuan perniagaan Cina

Ladang babi
IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan perniagaan Cina bagi menjelaskan keperluan penutupan dan pemindahan ladang babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Pertemuan tersebut bagi menjelaskan masalah pencemaran yang berlaku dan keperluan kepada pengurusan penternakan moden serta mampu mencegah daripada jangkitan penyakit seperti demam babi Afrika (ASF).

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, pertemuan tersebut turut menjelaskan penutupan ladang bukan untuk melarang mereka daripada meneruskan aktiviti penternakan itu, sebaliknya mahu wujudkan ternakan yang mampan.

“Maksud dia bukan kerajaan negeri nak mengharamkan pertanakan. Cuma kita hendak mereka urus dengan baik, dan saya sebut pada persatuan dalam perjumpaan dua hari lalu, ia untuk kebaikan mereka pada masa depan.

“Sebab bila tak sustainable, penyakit macam-macam, kalau tak diurus dengan baik, merugikan industri itu sendiri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 112 ladang babi termasuk 32 masih aktif di Tanjung Sepat tetap akan ditutup meskipun kerajaan negeri membatalkan sementara cadangan pembinaan ladang moden berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau memberi jaminan penutupannya akan dilakukan secepat mungkin walaupun ia akan mencetuskan kesan rantaian seperti peningkatan harga.

Izham turut memaklumkan terdapat cadangan-cadangan lain berkenaan lokasi pembinaan ladang babi moden, namun beliau enggan mendedahkan perkara tersebut.

“Banyaklah, tetapi saya tak akan dedahkan dahulu. Kita tidak boleh meneruskan lagi di sana (Tanjung Sepat), tetapi dalam masa sama yang mana masih bebas daripada penyakit, ada masa sedikit sahaja untuk pemindahan.

“Tidak ada tambahan waktu, kita sedang dalam proses pengosongan. Ada babi yang baru lahir, itu tak boleh bawa (dipindahkan) sebab baru lahir dan kita tak boleh pula hendak lupuskan, kena tunggu besar sedikit baru boleh dipindahkan,” ujarnya.

Katanya lagi, berhubung cadangan mengimport bahan makanan bagi komuniti bagi komuniti bukan Islam, ia tidak menjadi isu kerana sudah pun ada daging beku yang dibawa masuk ke negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN