KOTA BHARU: Peluang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kembali cerah apabila jawatan itu bukan ‘wajib’ dilantik dari ketua parti komponen.
Ketua Pengerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, hal ini kerana Perlembagaan PN tidak menyatakan ketua parti perlu dilantik sebagai pengerusi.
“Yang ada hanyalah Timbalan Pengerusi PN itu perlu dilantik dari ketua-ketua parti gabungan. Tiada keperluan untuk ketua parti jadi Pengerusi PN.
“Saya yakin perkara (pelantikan Pengerusi PN) masih dalam peringkat perbincangan,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamarudin Md. Nor yang memaklumkan Ahmad Samsuri perlu menjadi Presiden Pas jika mahu mengemudi PN.
Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merasmikan pembukaan Mydin Mart Pasir Mas di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kedudukan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Naib Presiden Pas ‘menyulitkan’ parti itu untuk mengemukakan cadangan melantik Menteri Besar Terengganu ke jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, mengikut perlembagaan PN, jawatan Pengerusi mesti setaraf atau lebih tinggi daripada pengerusi parti-parti komponen, sekali gus menolak kemungkinan seorang Naib Presiden parti menduduki jawatan tertinggi dalam gabungan itu.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, selagi tidak memegang jawatan Presiden Pas Menteri Besar Terengganu itu tidak boleh mengetuai PN.-UTUSAN










