Pengantin antara lapan maut, tong gas meletup

Pengantin antara lapan maut, tong gas meletup selepas majlis kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pasangan pengantin baharu maut apabila sebuah silinder gas meletup di rumah tempat mereka tidur di Islamabad selepas majlis perkahwinan, menurut pihak polis.

Enam lagi individu termasuk tetamu dan ahli keluarga yang turut menginap di rumah berkenaan juga terkorban dalam letupan itu. Lebih sedozen orang dilaporkan cedera.

Letupan yang berlaku pada pukul 7 pagi waktu tempatan pada Ahad itu menyebabkan bumbung rumah runtuh.

Sebahagian dinding rumah tercabut dan musnah, meninggalkan timbunan batu bata, kepingan konkrit besar serta perabot berselerakan di atas lantai.

Mangsa yang cedera terperangkap di bawah runtuhan dan terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan penyelamat.

Petugas kecemasan berkata, letupan berlaku akibat kebocoran gas yang memenuhi ruang bilik sebelum meletup. Tiga buah rumah jiran turut mengalami kerosakan.

Pengerusi Senat Pakistan, Yusuf Raza Gilani, menyifatkan kejadian itu sebagai insiden meruntun hati yang menukar suasana kegembiraan kepada kedukaan.

Hanif Masih, bapa kepada pengantin lelaki berkata, anaknya telah berkahwin sehari sebelum kejadian, dan pasangan pengantin baharu itu bersama ahli keluarga serta tetamu sedang tidur di rumah tersebut ketika letupan berlaku.

Masih berkata, semua penghuni rumah masuk tidur sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan pada Ahad, sebelum terjaga akibat letupan itu.

Selain anak lelakinya, menantu perempuan, isteri serta iparnya turut terkorban dalam kejadian tersebut.

Polis memaklumkan kawasan kejadian telah dipagar dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar letupan. Pegawai forensik berpakaian sut putih dihantar untuk memeriksa runtuhan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Sahibzada Yousaf memberitahu media tempatan bahawa anjing pengesan serta teknologi canggih digunakan bagi memastikan semua mangsa berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan. -BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN