KUANTAN: Veteran UMNO Paya Besar menggesa Pergerakan Pemuda parti tersebut di bawah kepimpinan Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh agar kekal konsisten dengan pendirian terdahulu berhubung agenda penyatuan Melayu.
Pengerusi Veteran UMNO Paya Besar, Mohamed Ghazali Josoh berkata, kenyataan Pemuda sebelum ini yang mendesak UMNO keluar daripada kerajaan Perpaduan ekoran keceluparan pimpinan DAP juga perlu diteruskan tanpa kompromi.
Menurutnya, suara anak muda UMNO mesti mencerminkan aspirasi akar umbi yang mahukan parti itu kembali kepada prinsip asal perjuangan, bukan sekadar bertahan demi kuasa.
“Dilema antara mempertahankan kuasa dan prinsip bukan perkara baharu dalam politik, namun bagi UMNO pada ketika ini, ia sudah menjadi persoalan kewujudan jangka panjang.
“UMNO ditubuhkan atas semangat mempertahankan maruah bangsa dan agama. Jika prinsip itu dikorbankan, maka hilanglah makna sebenar perjuangan,” tegasnya.
Mohamed Ghazali berkata, keceluparan pimpinan DAP jelas menyinggung perasaan orang Melayu dan menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli UMNO sendiri.
Dalam konteks itu, tegasnya, Pemuda UMNO dilihat sebagai benteng terakhir yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu, khususnya generasi muda yang semakin kritikal terhadap politik arus perdana.
Katanya, Veteran UMNO Paya Besar turut mengingatkan bahawa UMNO tidak boleh terus bergantung kepada strategi jangka pendek kerana tindakan sedemikian hanya melemahkan kedudukannya dalam jangka masa panjang.
“Sebaliknya, UMNO perlu berani membuat keputusan besar yang menegaskan kembali prinsip perjuangan, meskipun ia mungkin mengorbankan kedudukan dalam kerajaan.
“Pilihan ini bukan sekadar soal taktikal, tetapi soal hidup mati parti. UMNO mesti memilih sama ada mahu terus berkuasa tanpa prinsip, atau kembali kepada perjuangan asal demi kelangsungan generasi akan datang,” tegasnya. – UTUSAN










