Pelancong asing wajib tunjuk akaun simpanan untuk ke Bali

Pelancong asing wajib tunjuk akaun simpanan untuk ke Bali

BALI merekodkan 7.05 juta ketibaan pelancong asing, menjadikannya tertinggi dalam sejarah pelancongan pulau itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALI: Bermula tahun ini, kerajaan wilayah Bali merancang untuk menapis pelancong antarabangsa yang masuk ke pulau itu berdasarkan kemampuan kewangan, tempoh penginapan dan aktiviti yang dirancang.

Langkah tersebut bertujuan memulihkan ketenteraman dan kelestarian di destinasi percutian paling popular di dunia itu.

Gabenor Bali, Wayan Koster berkata, dasar itu akan mewajibkan pelawat asing menunjukkan sumber kewangan yang mencukupi, termasuk semakan simpanan mereka selama tiga bulan sebelumnya, sebagai sebahagian daripada syarat kemasukan.

“Antara aspek pelancongan berkualiti ialah jumlah wang dalam akaun simpanan pelawat sepanjang tiga bulan lepas,” katanya semasa acara berkaitan pelancongan di Gianyar pada Khamis lalu.

Selain itu, pihak berkuasa juga akan menilai tempoh pelancong bercuti dan aktiviti yang mereka rancangkan sepanjang berada di pulau peranginan itu.

“Langkah ini bagi memastikan semuanya terkawal. Apabila melancong ke negara lain, pemeriksaan serupa dilakukan, dan kita akan melaksanakan pendekatan sama selaras dasar yang diterapkan di tempat lain,” katanya.

Dasar baharu itu diperkenalkan ketika jumlah pelancong asing ke Bali mencatatkan rekod tertinggi.

Sepanjang 2025, pulau itu merekodkan 7.05 juta ketibaan pelancong asing melalui udara, menjadikannya tertinggi dalam sejarah pelancongan Bali, dengan kedatangan pelawat terus meningkat sejak pandemik Covid-19 reda.

Namun, peningkatan tersebut turut menimbulkan kebimbangan awam berikutan beberapa insiden melibatkan pelancong asing.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Bali menyaksikan kes pelancong liar yang mengganggu ketenteraman awam, melanggar undang-undang dan adat tempatan, serta membebankan sumber penguatkuasaan undang-undang.

Lebih membimbangkan, pihak berkuasa juga terpaksa menangani jenayah ganas yang melibatkan pelancong asing.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN