Pas anggap Islam UMNO hanya bersifat kosmetik

Pas anggap Islam UMNO hanya bersifat kosmetik

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendekatan UMNO yang ingin meletakkan agama Islam sebahagian daripada naratif politiknya disifatkan sekadar bersifat kosmetik dan tidak diterjemahkan secara menyeluruh dalam dasar serta pelaksanaan pemerintahan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, memperjuangkan Islam tidak boleh terhenti pada penggunaan istilah agama di hadapan bangsa dan negara semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, ia menuntut komitmen jelas melalui dasar parti, sumber rujukan tertinggi serta pelaksanaan pentadbiran yang benar-benar selaras dengan perintah Allah dan prinsip pencegahan kemungkaran dalam kerajaan.

Malah, beliau turut menyifatkan cadangan untuk membubarkan Pas kononnya kerana UMNO meletakkan agama di hadapan bangsa dan negara sebagai satu ‘jenaka awal tahun’.

“Kegagalan menterjemahkan prinsip itu dapat dilihat apabila UMNO didakwa menjadi antara pihak yang memperkenalkan loteri di Malaysia, sehingga kegiatan perjudian terus berleluasa hingga ke hari ini.

“Tiada agama dan kaum yang membenarkan perjudian. Kita ingin lihat UMNO benar-benar berani mengarahkan penutupan premis perjudian di negeri-negeri yang mereka kuasai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, amalan riba dalam sistem kewangan masih berleluasa dan perlu ditangani secara lebih serius melalui dasar Islam yang menyeluruh demi kesejahteraan masyarakat serta kestabilan negara.

“Pas menyambut baik sebarang agenda pembangunan negara yang selaras dengan syarak tanpa mengira siapa yang melaksanakannya.

“Untuk bubar Pas kerana UMNO meletakkan agama di hadapan perkataan bangsa dan negara, ia satu jenaka awal tahun. ‘A light new year joke’,” katanya.

Media semalam melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ‘berharap’ Pas akan terbubar dengan sendirinya susulan UMNO sudah meletakkan agama Islam di hadapan, melalui pindaan Perlembagaan parti pada 2019.

Ahmad Zahid menyatakan perkara demikian bagi ‘mengimbau’ kembali amanat disuarakan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencadangkan supaya UMNO dan Pas dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai jasa besar khususnya dalam memartabatkan agama Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Ada rakan dari PKR dan AMANAH hadir di sini apabila Almarhum Nik Aziz menyebutkan UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya, dalam Perlembagaan UMNO maka Pas akan dibubarkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, tiada keperluan untuk membubarkan Pas atau UMNO sebaliknya berlawan secara sihat di pentas demokrasi.

Beliau berkata, Pas yang dahulunya sering digambarkan sebagai hanya berada dalam ruang pengaruh pondok dan orang kampung kini sudah berkembang dengan sokongan meluas khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual.

Katanya, jika dulu Pas dilabel sebagai ‘dagang’ kini menjadi pejuang dan harapan ummah.

Malah, tambahnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan kebangkitan apabila Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam Dewan Rakyat.

“Untuk rekod, berikut pencapaian kerusi Parlimen UMNO sahaja dalam beberapa pilihan raya, PRU 2004 dengan 109 kerusi; PRU 2008 (79 kerusi); PRU 2013 (88 kerusi); PRU 2018 (54 kerusi) dan PRU 2022 (26 kerusi).

“Trend itu jelas. UMNO berada di puncak pada PRU 2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×