Pandang ke depan, mari bersama majukan negeri’ - Izizam - Utusan Malaysia

Pandang ke depan, mari bersama majukan negeri’ – Izizam

IZIZAM Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Exco majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan tersebut di Istana Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Izizam Ibrahim yang merupakan Exco paling senior dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) berharap pimpinan Pas pusat mempertimbangkan semula untuk membenarkan wakil rakyat dari parti itu dilantik di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi itu, daripada sudut parti, beliau menghormati keputusan atau pendirian Pas itu dan menghargai peranan mereka selama ini.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik untuk pemimpin dari kedua-dua parti di dalam Perikatan Nasional (PN) itu bersama-sama pandang ke depan memajukan negeri ini.

“Saya pasti dalam kalangan kita tahu dan sedar situasi sebenar yang berlaku. Dalam soal prinsip, saya juga mempunyai prinsip, tetapi demi kebaikan negeri ini adalah lebih baik kita pandang ke depan dan bersama-sama untuk memajukan negeri ini yang tidak sampai dua tahun lagi menjelang pilihan raya.

“Sememangnya diakui daripada segi cabaran tanpa dibantu oleh wakil dari Pas di mana kita perlu memegang antara empat sehingga lima portfolio. Portfolio saya kali ini juga agak mencabar khususnya dalam menjaga agama dan kerajaan tempatan serta perumahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, empat ADUN dari Bersatu
iaitu Izizam; Marzita Mansor (Sena); Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afhtar Ishak (Tambun Tulang) mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Izizam yang terus kekal sebagai Exco sejak tiga tahun lalu termasuk di bawah Menteri Besar terdahulu, Mohd. Shukri Ramli memegang protfolio Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan dan Sumber Manusia dan Modal Insan.

Abu Bakar Hamzah selaku Menteri Besar pula memegang portfolio Pentadbiran, Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber Asli, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar dan Keselamatan serta Hubungan Sempadan.

Selain itu, Marzita memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan dan Kebajikan serta Pembasmian Kemiskinan.

Manakala Megat Hashirat memegang portfolio Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar serta Wan Zikri memegang Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, Teknologi serta Inovasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN