Pahang catat RM18.04 bilion pelaburan tahun 2025, lepasi sasaran RM14.09 bilion - Utusan Malaysia

Pahang catat RM18.04 bilion pelaburan tahun 2025, lepasi sasaran RM14.09 bilion

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) mencuba air Bubbles O2 pada Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah Bubbles O2 di tanah Yayasan Pahang di Ladang Gambang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang merekodkan pelaburan berjumlah RM18.04 bilion sepanjang tahun lalu, melepasi sasaran asal RM14.09 bilion yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan dasar, kecekapan tadbir urus serta ekosistem perniagaan kondusif yang ditawarkan Pahang.

“Jumlah pelaburan itu merangkumi RM15.01 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM3.03 bilion pelaburan domestik (DDI), iaitu peningkatan sebanyak 28.03 peratus berbanding sasaran, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai antara destinasi pelaburan utama negara.

“Setiap pelaburan yang diterima bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi pemacu kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri, penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan rakyat secara mampan dan inklusif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah Bubbles O2 Sdn. Bhd. di tanah milik Yayasan Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, selaras Aspirasi Pahang 1st dan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30), kerajaan negeri merealisasikan satu lagi pelaburan strategik membabitkan projek cari gali dan pengeluaran air mineral premium oleh Bubbles O2 Sdn. Bhd. Di Ladang Gambang Yayasan Pahang.

“Projek pelaburan bernilai RM20 juta ini seluas 74 ekar dan merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri air mineral, daripada aktiviti cari gali sumber air bawah tanah sehingga ke peringkat pengeluaran dan pengkomersilan. Dengan kapasiti pengeluaran minimum 14 juta botol setahun, projek ini dijangka mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan, dengan keutamaan kepada anak tempatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN