WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengumumkan Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk kembali ke bulan selepas lebih 50 tahun tidak menghantar manusia ke sana.
Dalam satu taklimat pada Selasa, agensi itu berkata, tarikh paling awal untuk pelancaran Artemis II, misi berawak pertama ke bulan sejak 1972, adalah pada 6 Februari depan.
Pegawai NASA berkata, tempoh pelancaran rasmi untuk Artemis II akan kekal dibuka dari 31 Januari hingga 14 Februari, dengan beberapa tarikh alternatif juga sedang dipilih.
Misi itu akan membawa angkasawan NASA, Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch, serta angkasawan Agensi Angkasa Kanada, Jeremy Hansen, dalam perjalanan selama 10 hari mengelilingi bulan sebelum kembali ke Bumi.
Misi Artemis II tidak akan mendarat di permukaan bulan. Pendaratan bulan pertama dalam program Artemis dijadualkan berlaku menerusi misi Artemis III, yang ketika ini dirancang untuk dilaksanakan pada 2027.
Artemis II tidak boleh dilancarkan pada bila-bila masa. Pelancarannya bergantung kepada kiraan orbit yang tepat, termasuk kedudukan Bumi dan bulan, prestasi roket serta keadaan cuaca di sekitar tapak pelancaran di Pusat Angkasa Kennedy di Florida.
Jika pelancaran tidak dapat dilakukan pada Februari, NASA turut memilih beberapa tarikh lain pada awal Mac dan April untuk misi tersebut.
Artemis II akan menjadi misi angkasa pertama dengan kru manusia dalam tempoh 53 tahun yang melangkaui orbit Bumi rendah.
Seawal 6 Februari, angkasawan akan berlepas dari Cape Canaveral dengan kapal angkasa Orion, yang dibawa oleh sistem roket berkuasa NASA, Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS).
Ia akan mengorbit Bumi beberapa kali terlebih dahulu untuk menguji peralatan sokongan hayat sebelum melakukan penerbangan lintas bulan, laluan dekat tanpa mengorbit atau mendarat.
Matlamat utama misi adalah membuktikan roket, kapal angkasa dan sistem berfungsi dengan sempurna ketika membawa manusia, sekali gus membuka laluan untuk pendaratan Artemis III tahun depan.- AGENSI










