KUANTAN: Majlis Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG) merayu kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan syarat baharu pendaftaran pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari yang mewajibkan hanya Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) daripada Pusat Bertauliah diterima mulai 1 Januari 2027.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah tersebut wajar dikaji semula kerana ia memberi kesan besar kepada lebih 60,000 pengamal perubatan tradisional Melayu di seluruh negara yang kini bernaung di bawah pelbagai persatuan dan pertubuhan.
Beliau berkata, kos tinggi untuk mendapatkan sijil itu menyebabkan ramai pengamal tidak mampu menanggung beban tersebut, sekali gus menjejaskan kesinambungan perkhidmatan alternatif yang semakin mendapat sambutan masyarakat.
“Perubatan Tradisional Melayu perlu diperkasakan dan diiktiraf peranan pentingnya dalam meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat arus perdana seiring dengan perubatan moden.
“Kerajaan sewajarnya mencari penyelesaian membantu golongan ini dan MyGiG sedia berbincang dengan kerajaan serta menjadi orang tengah dalam membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar menegaskan, kerajaan tidak seharusnya mengamalkan ‘double standard’ kerana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sendiri mengiktiraf spa dan pusat urutan dari Thailand yang berdaftar di bawah program Malaysia Spa Standard (MSS).
“Penguatkuasaan juga hanya memberikan syarat kepada amalan perubatan Melayu sahaja, amalan perubatan Cina dan India tidak diberikan syarat,” katanya.
Menurutnya, pengamal tempatan juga wajar diberi ruang dan sokongan sewajarnya agar industri perubatan alternatif terus berkembang seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Merujuk surat bertarikh 18 November 2025 dari Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan dimaklumkan bahawa bermula 1 Januari 2027 hanya SKM dan DKM bagi bidang berikut diperoleh melalui latihan di pusat bertauliah sahaja akan diterima bagi tujuan pendaftaran sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari.
Ia merangkumi urut terapeutik dan penjagaan, terapi bekam angin, penjagaan ibu selepas bersalin Mamacare dan perawatan ruqyah.
Sehubungan itu, berkuatkuasa 1 Februari 2026, semua permohonan baharu sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) bagi program di atas tidak akan diproses. Pusat PPA yang masih aktif dibenarkan beroperasi sehingga 30 Jun 2026 bagi tujuan melengkapkan proses penilaian calon-calon PPA yang sedang berjalan sahaja. – UTUSAN










