HULU SELANGOR: Penduduk di empat tanah rancangan Felda menyifatkan pembinaan ladang babi berpusat yang akan dibina di atas tapak seluas 202 hektar dekat Bukit Tagar, di sini ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan’.
Ia kerana, lain pembangunan yang penduduk harapkan seperti menaiktaraf hospital di Kuala Kubu Baharu, menyelesaikan masalah jalan tidak rata serta fasiliti lain terutama di kawasan Felda Sungai Tengi Selatan, Sungai Tengi, Soeharto dan Gedangsa.
Menurut seorang warga Felda Sungai Tengi Selatan, Abdul Wahab Samad, 71, penduduk di sana mengharapkan fasiliti kesihatan yang lebih baik kerana perjalanan ke hospital terdekat pun ambil masa lebih satu jam.
“Dari sini hendak ke hospital terdekat adalah di Kuala Kubu Baharu dan juga Slim River, perjalanannya lebih sejam melalui lebuh raya di susur Bukit Tagar, lalulah tempat yang dikatakan hendak bina ladang babi.
“Buat apa buat ladang babi, bukan ada manfaat kepada penduduk di sini, lagi menambah masalah dengan bau dan pencemaran lagi. Usah kata risiko, lebih baik batalkan terus hasrat itu,” katanya ketika ditemui, Utusan Malaysia.
Terdahulu, dia bersama lebih 200 penduduk dari keempat-empat tanah rancangan itu serta penempatan di Bestari Jaya, Bukit Beruntung dan kawasan berdekatan Bukit Tagar mengadakan perhimpunan aman di laluan masuk Felda Sungai Tengi Selatan.
Perhimpunan tersebut diadakan bagi membantah rancangan pembinaan ladang babi seluas kira-kira 202 hektar bagi menempatkan pemindahan ternakan itu dari Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Seorang lagi penduduk, Rosli Jemain, 66, berkata, penduduk khuatir biarpun dimaklumkan tentang pengoerasian ladang akan menggunakan teknologi tinggi dan tertutup, namun itu bukan jaminan kesejahteraan mereka tidak terganggu.
Dulu, ketika hendak dibuka tapak pelupusan sampah lebih hampir 15 tahun lalu pun dimaklumkan kepada kami perkara yang sama. Tapak sampah berteknologi tinggi, tak akan ada masalah bau.
Sekarang, penduduk sebenarnya dibelenggu masalah bau sampah terutama pada waktu malam dan baunya lebih kuat ketika cuaca hujan atau angin kuat. Macam mana nanti bila ada ladang babi,” tegasnya.
Jelas seorang anak peneroka, Datuk Mohamad Khairuddin Mohamad, kawasan Bukit Tagar amat tidak sesuai dibina ladang babi kerana terdapat infrastruktu asas seperti loji rawatan air di sepanjang Sungai Selangor.
“Selain ada perumahan dan penempatan penduduk yang majoriti Melayu, tidak jauh dari situ ada Universiti Selangor (Unisel), ladang lembu tenusu yang baru dirasmikan oleh kerajaan,” tambahnya. – UTUSAN










