CANBERRA: Syarikat gergasi media sosial, Meta menyahaktifkan lebih setengah juta akaun pengguna bawah umur di Facebook, Instagram dan Threads susulan pelaksanaan larangan media sosial bawah 16 tahun di Australia.
Lebih sebulan selepas larangan tersebut berkuat kuasa, Meta hari ini memaklumkan mula menyahaktifkan akaun antara 4 Disember hingga 11 Disember, melibatkan 544,052 akaun yang dipercayai milik pengguna berusia bawah 16 tahun.
Daripada jumlah itu, 330,639 akaun adalah di Instagram, 173,497 di Facebook dan 39,916 di Threads.
“Pematuhan berterusan terhadap undang-undang ini akan menjadi satu proses berlapis yang akan terus kami perhalusi, namun kebimbangan kami mengenai penentuan umur dalam talian tanpa piawaian industri masih kekal,” kata Meta dalam catatan blog yang diterbitkan pada Isnin.
Kesemua 10 platform yang diumumkan kerajaan sebagai tertakluk kepada larangan tersebut iaitu Twitch, Kick, YouTube, Threads, Facebook, Instagram, Snap, X, TikTok dan Reddit melaksanakan pemeriksaan umur pada 10 Disember 2025.
Selepas larangan itu dilaksanakan, Pejabat Pesuruhjaya eSafety menghantar pertanyaan kepada platform-platform berkenaan untuk mengetahui jumlah akaun yang telah dinyahaktifkan, namun setakat ini eSafety masih belum mengeluarkan data tersebut.
Kerajaan persekutuan sebelum ini menyatakan larangan itu tidak akan sempurna serta-merta, dan beberapa remaja dilaporkan bermegah kerana berjaya mengelakkannya melalui balasan di akaun media sosial Perdana Menteri selepas larangan tersebut berkuat kuasa.
Satu akaun Twitch yang diwujudkan Guardian Australia untuk menguji larangan itu sebagai pengguna bawah 16 tahun disekat secara kekal oleh platform tersebut minggu lalu, dengan merujuk kepada dasar yang ditetapkan.
Pihak pembangkang persekutuan, yang sebelum ini berkempen menyokong dasar tersebut sebelum ia diterima kerajaan, berkata minggu lalu pelaksanaan larangan itu telah gagal mencapai sasaran.
“Ramai akaun pengguna bawah 16 tahun masih belum dinyahaktifkan, manakala sebahagian akaun yang pada awalnya disekat kini kembali aktif,” kata Menteri Komunikasi, Melissa McIntosh. -AGENSI










