Menteri Besar Perlis pelawa wakil Pas sertai Exco

Menteri Besar Perlis pelawa wakil Pas sertai Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengutuskan surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mempelawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas menyertai barisan Exco kerajaan negeri yang bakal dibentuk oleh beliau.

Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis itu dijadual berlangsung di Istana Arau hari ini.

Abu Bakar berkata, pada peringkat awal, empat ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Ujar beliau, keempat-empat mereka adalah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Marzita Mansor (Sena) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).

“Dalam masa sama, saya mendapat pandangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar mempelawa juga (wakil Pas) (menyertai barisan Exco) walaupun kita faham Pas sudah mengeluarkan arahan tidak akan menyertai dalam barisan Exco kerajaan negeri.

“Maknanya sebagai kerajaan negeri dan Menteri Besar yang masih berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kita telah keluarkan surat pada Tuan Guru (Abdul Hadi) agar mempelawa juga tiga orang dalam kalangan Pas dibawa masuk dalam kerajaan negeri. Ini selaras dengan hubungan yang hendak kita kekalkan dalam pentadbiran kerajaan PN,” katanya di sini semalam.

Pas sebelum ini memutuskan ADUN daripada parti itu tidak akan menganggotai barisan Exco kerajaan negeri yang akan dibentuk Abu Bakar, malah semua Exco sedia ada daripada parti itu juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring peletakan jawatan Mohd. Mohd Shukri.

Bagaimanapun, Pas akan mengekalkan keharmonian di Perlis dan menyokong kerajaan baharu pimpinan Bersatu diketuai Abu Bakar namun tidak akan memegang sebarang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Enam ADUN dari Pas yang tinggal itu juga sepakat akur dengan arahan Pas pusat tersebut.

Mereka ialah Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer); Haziq Asyraf Dun (Beseri); Asrul Aimran Abd. Jalil (Kayang); Muhammad Azmir Azizan (Santan); Razali Saad (Simpang Empat) dan Mohd. Shukri yang juga bekas Menteri Besar (Sanglang).

Empat dari ADUN berkenaan sebelum ini adalah Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, pelantikan Exco dalam kalangan ADUN Bersatu itu juga bakal menyaksikan Megat Hashirat dan Wan Zikri kembali semula ke kerusi berkenaan selepas digugurkan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN