Melayu bawah satu payung

Melayu bawah satu payung

Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam. – MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang Melayu di negara ini perlu bersatu di bawah satu payung besar dengan semua parti politik yang berteraskan kaum itu dan Islam perlu bekerjasama.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bukan untuk menggugat Kerajaan Per­paduan, tetapi demi menjaga kepen­tingan agama, bangsa dan negara.

Menyifatkan cadangan itu ­sebagai ko­la­borasi agung, katanya, ia tidak akan memaksa mana-mana parti dibubar atau meninggalkan identiti masing-masing.

“Sebaliknya, semua parti akan bergabung dan bergerak bersama secara tidak rasmi sebagai langkah awal ke arah pembentukan satu gabungan besar.

“Matlamat utama adalah untuk menyatukan roh dan perjua­ngan parti-parti Melayu Islam dalam satu kerangka yang lebih besar dan in­klu­sif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama itu boleh bermula dari peringkat jawatankuasa, seterusnya diperluaskan ke Mesyuarat Nasional dan Majlis Perundingan Ummah.

Menurutnya, pendekatan ini diharap dapat menyatukan kekuatan tanpa mengorbankan prinsip dan perjuangan asal setiap parti dengan mengetepikan perbezaan warna dan lambang parti demi kepentingan Islam dan Melayu serta membawa satu suara dan pendirian yang lebih kukuh di peringkat nasional.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bimbang kerana usaha ini tidak mempunyai agenda ‘tebuk atap’ atau sebarang niat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Ia semata-mata bertujuan menterjemahkan keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam demi memperjuangkan agenda Islam dan Melayu secara bersatu.

“Dengan kolaborasi ini, diharapkan isu-isu berkaitan kepentingan Islam dan Melayu dapat dibawa secara bersama, tersusun dan lebih berkesan demi masa depan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang ditubuhkan bagi memperkukuh agenda penyatuan politik Melayu serta membuka ruang penyertaan lebih luas ke dalam UMNO.

“Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa ini ditubuhkan bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti yang telah meninggalkan UMNO, selain membuka ruang kepada mereka yang belum pernah menjadi ahli untuk menyertai UMNO mengikut proses dan peraturan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah me­ngadakan perbincangan dengan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berhubung langkah Penyatuan Rumah Bangsa.

“Beliau bersedia untuk menyerahkan partinya kepada kita untuk diserap dalam kerangka kerjasama yang lebih besar demi kepentingan penyatuan umat Melayu dan Islam. Ke­sediaan tersebut dilihat sebagai satu langkah berani dan berjiwa besar dalam usaha memperkukuhkan agenda Islam dan Melayu di peringkat nasional.

“Beliau berpandangan bahawa landskap politik semasa menuntut kesatuan yang lebih kukuh, dan penggabu­ngan kekuatan parti-parti yang berkongsi asas perjuangan yang sama adalah pendekatan terbaik demi masa depan umat dan negara,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Musyawarah Nasional yang diketuai tokoh veteran UMNO, Tan Sri Abdul Ghani Othman iaitu jawatankuasa khas bagi membincangkan agenda politik Melayu secara menyeluruh merangkumi kedudukan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan serta masa depan generasi Melayu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sokongan UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan kekal berterusan selari komitmen untuk memastikan ke­stabilan politik dan tadbir urus negara terpelihara.

Beliau turut berkongsi pe­ngalaman berkaitan pendekatan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk PKR yang mengadakan perbincangan dalaman melibatkan kepimpinan dan ahlinya.

Menurutnya, Anwar pernah menekankan dalam ke­pimpinan PKR bahawa pembentukan kerajaan tidak boleh memenuhi semua tuntutan mana-mana pihak memandang­kan Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh pelbagai parti.

Beliau turut menepis dakwaan segelintir pihak dalam PKR yang menuduh Perdana Menteri tunduk kepada tekanan UMNO sambil menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menekan Perdana Menteri dalam sebarang urusan.

Sehubungan itu, beliau berharap para perwakilan dan ahli UMNO memahami realiti politik semasa serta menyedari bahawa Perdana Menteri sentiasa menghargai peranan dan sumbangan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin Perdana Menteri cukup menghormati dan menyayangi UMNO sebagai rakan strategik dalam pentadbiran negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mencadangkan Akta Perlindungan Guru Malaysia diwujudkan untuk melin­dungi kebajikan guru, khusus­nya daripada segi pelaksanaan beban tugas, keselamatan serta hak profesional mereka.-MINGGUAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN