KOTA BHARU: Pemilik kenderaan mewah yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury menjadikan masalah kewangan sebagai alasan mereka culas melunaskan bayaran cukai jalan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, walaupun mampu membeli kenderaan bernilai jutaan ringgit namun mereka mendakwa berdepan kesukaran membayar cukai jalan mencecah RM20,000 hingga RM52,000 setahun.
Katanya, bagaimanapun jumlah bayaran itu bergantung kepada jenis kenderaan mewah yang digunakan oleh individu terlibat.
“Selain itu, terlupa (membayar) menjadi alasan yang paling popular hasil operasi yang dilakukan oleh pihak JPJ menerusi Ops Luxury ketika ini.
“Sejak dilancarkan pada 1 Julai tahun lalu hingga semalam, kami telah menyita sebanyak 1,050 buah kenderaan mewah di seluruh negara jumlah nilai rampasan melebihi RM200 juta,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Muhammad Kifli menegaskan tindakan penyitaan yang dilaksanakan JPJ telah meningkatkan kesedaran di kalangan pemilik kenderaan mewah.
“Sebelum ini, tindakan saman sahaja tidak berkesan kerana denda antara RM300 hingga RM500.
Selepas kita menyita kenderaan dan mengarahkan pemilik membayar cukai jalan tertunggak, hampir 90 peratus membayar semula,” ujarnya.
Muhammad Kifli berkata, antara kenderaan mewah yang telah disita setakat ini seperti Mustang, Subaru, Mercedes, BYD, Rolls-Royce dan banyak lagi.
Katanya, tindakan ini bukan untuk mencari salah, tetapi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan jalan raya.
“Pada Ahad lalu, JPJ menahan sebuah kereta jenis Subaru yang dinaiki lelaki warga Itali bersama teman wanitanya sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Cherating, Pahang.
“Dia menyewa kereta itu daripada warga tempatan, tetapi rupa-rupanya cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh dua minggu lalu,” jelasnya.-UTUSAN










