KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman Malaysia menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah termasuk rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi memperkukuh sistem kehakiman negara dan mempercepatkan penyelesaian kes rasuah.
“Sebagai permulaan, pelaksanaan inisiatif tersebut akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Perkara itu susulan rundingan Hakim Besar Malaya bersama Ketua Hakim Negara bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 kelmarin,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim menegaskan keperluan menyediakan hakim yang berpengalaman untuk mendengar kes-kes rasuah serta mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi memastikan perbicaraan kes berkenaan rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Untuk makluman, setakat ini sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara bagi mendengar kes-kes rasuah dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran.
“Bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Hakim Besar Malaya selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara bersetuju agar Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah, selain mengendalikan rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah,” katanya. – UTUSAN










