KUANTAN: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM116 juta bagi pengoperasian sekolah-sekolah agama di seluruh negeri tahun ini, selain peruntukan pembangunan dan penyelenggaraan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum ini hampir RM75 juta diperuntukkan setiap tahun khusus bagi pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pendidikan agama kekal kukuh dan mampan.
Menurutnya, peruntukan besar dan konsisten itu bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang demi masa depan anak-anak Pahang. Kerajaan negeri juga mengambil langkah mengurangkan yuran persekolahan dan yuran asrama SMAN kerana memahami realiti kehidupan rakyat hari ini.
“Kita mahu pendidikan agama terus dapat diakses tanpa membebankan ibu bapa,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, pendekatan tersebut selari gagasan Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras utama dalam setiap dasar dan pembangunan negeri, selain sentiasa mendengar serta memahami denyut nadi masyarakat. – UTUSAN










