Lebih 100 pelajar SMK teruja kembali ke sekolah naik kereta api

Lebih 100 pelajar SMK teruja kembali ke sekolah naik kereta api

PELAJAR SMK Dabong, Kuala Krai, Kelantan kelihat teruja untuk kembali ke sekolah untuk penggal baharu persekolahan menggunakan perkhidmatan kereta api hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Lebih 100 pelajar dari beberapa buah kampung di sini teruja memulakan penggal baharu persekolahan 2026 hari ini dengan menaiki kereta api untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong.

Tinjauan mendapati rata-rata pelajar dilihat begitu bersemangat menunggu perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Antarabandar seawal pukul 6 pagi meskipun perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan buat mereka.

Kebanyakan pelajar yang menggunakan perkhidmatan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Antarabandar ini tinggal Kampung Kemubu, Bukit Abu, Slow Pok Long, Ulu Temiang dan Kuala Gris.

Seorang pelajar tingkatan satu dari Kampung Kuala Gris, Nur Adriana Amani Mohd Zulkifli, 13, mengakui teruja dan ini merupakan pengalaman pertama dia menaiki kereta api untuk ke sekolah.

Katanya, walaupun terpaksa menunggu kereta api seawal pukul 6.15 pagi namun perkara itu tidak mematahkan semangat untuk ke sekolah.

“Ini kali pertama saya ke sekolah naik kereta api. Masa sekolah rendah menaiki basikal,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd. Azhar Abu Bakar berkata, suasana pelajar menaiki kereta api ke sekolah di Dabong disifatkan sebagai antara yang paling unik dan meriah di negara ini.

Katanya, setiap hari dianggarkan antara 100 hingga 150 pelajar menggunakan perkhidmatan kereta api untuk ke SMK Dabong.

“Mereka menaiki perkhidmatan kereta api secara percuma menerusi Program MyRailLife yang disediakan oleh KTMB,” ujarnya semasa ditemui pemberita pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026 di sini hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN