Ladang babi haram ditinggal, terbiar

Ladang babi haram ditinggal, terbiar

BABI yang ditinggalkan terbiar dalam kandang di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ketika isu babi hangat di­perkatakan, beberapa ­ladang ternakan itu ditinggalkan oleh pemilik­nya di daerah ini, mencetuskan ke­bimbangan ke­pa­da penduduk di beberapa buah kampung berdekatan.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Ladang Tumbuk, Kampung Batu Untung dan Kampung Batu Laut.

Apa yang membimbangkan penduduk ialah ketiadaan pe­ngawasan ke atas ladang-ladang berkenaan yang menurut mereka telah menutup operasi selepas wabak demam babi Afrika (ASF) melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu.

Namun, tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati, masih terdapat babi dalam kandang yang ditinggalkan itu.

Tahun lalu, sebanyak 58 ladang babi di Sela­ngor iaitu 55 di Kuala Langat dan ti­ga di Sepang, disahkan dijang­ki­ti wabak ASF menyebabkan 14,000 ekor haiwan itu terpaksa dilupuskan untuk mengawal penularan wabak.

Menurut laporan media, pe­lupusan babi berkenaan dila­kukan di kawasan kandang ter­ libat, bagi mengelak wabak me­rebak ke kawasan lain.

Wartawan Utusan Malaysia cuba menyelami masalah dihadapi oleh penduduk setempat berkait isu ternakan babi di kawasan itu sebelum ini.

SALIRAN AIR MENGALIR

Perjalanan wartawan Utusan Malaysia dan jurufoto menyusuri jalan utama Tanjung Sepat membawa kepada pemandang­an yang sukar diabaikan apabila saliran air yang mengalir bersebelahan jalan kelihatan terus menuju ke laut, hanya kira-kira 50 meter dari pesisir pantai.

Di beberapa lokasi sekitar Kam­pung Ladang Tumbuk hing­ga Kampung Batu Untung, saliran tersebut dapat dilihat mengalir tanpa sebarang hala­ngan sebelum memasuki pantai, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap pengurusan sisa kumbahan di kawasan ber­kenaan.

Ladang penternakan babi dipercayai membuang bahan kumbahan sisa menyebabkan pencemaran bau di sekitar perumahan penduduk di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat, Sepang. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Tinjauan mendapati kawasan perumahan di sekitar laluan tersebut tidak diselubungi bau yang ketara, namun suasana berubah apabila menghampiri kawasan Sungai Giling, iaitu sungai utama yang menjadi lalu­an saliran sebelum mengalir ke Pantai Cunang dan Pantai Batu Laut.

Di pesisir pantai berhampiran muara sungai, bau kurang menyenangkan dapat dihidu, dipercayai berpunca daripada aliran sungai yang terus memasuki laut tanpa rawatan yang jelas.

Cubaan untuk meninjau le­bih dekat keadaan di dalam kawasan ladang bagaimanapun gagal apabila kebanyakan ladang berada di tanah persendirian berpagar dan berkunci.

Namun, ketika sedang me­ninjau kawasan sekitar, kelihatan pagar sebuah ladang terbuka dengan sebuah kenderaan ada di kawasan tersebut. Wartawan cuba memasuki kawasan kandang bagi melihat keadaan di sekitarnya.

Tidak lama kemudian, seorang pekerja dilihat keluar dari kawasan ladang tersebut dengan menaiki sebuah motosikal, lengkap me­makai but kuning, sebelum menghampiri kenderaan kami.

KOLAM KUMBAHAN

Jurugambar yang turun untuk merakam gambar kolam kumbahan di ladang itu segera kembali ke dalam kenderaan se­baik menyedari kehadiran pe­kerja terbabit.

Pekerja berkenaan kemudian menegur dan meminta tingkap kenderaan dibuka sebelum bertanya, “Awak mahu potong babi ke?”

Jurugambar menjelaskan bahawa kami tersalah jalan dan tidak berniat memasuki kawa­san tersebut.

“Tidak, tidak, kami tersesat dan salah jalan,” katanya, sebelum beredar meninggalkan kawasan berkenaan.

Seterusnya, di sebelah laluan utama Tanjung Sepat yang terletak kira-kira 30 meter dari laut, kami terjumpa ladang ternakan babi yang sudah tidak beropera­si dengan pagar terbuka. Kami cuba memasuki kawasan tersebut.

Di lokasi tersebut, suasana dalam ladang yang menempatkan beberapa kandang kelihatan sunyi tanpa sebarang aktiviti jelas, namun bau busuk semakin kuat.

Ketika tinjauan diteruskan di sekitar premis berkenaan, kami menemui seorang pekerja warga Indonesia yang kemudian me­nunjukkan kandang yang masih menempatkan beberapa ekor babi.

MULUT BERBUIH

Haiwan itu kelihatan tidak aktif, hanya terbaring dalam kandang, dengan beberapa ekor daripadanya berbuih di mulut.

Kami cuba mengambil peluang menemu bual pekerja itu, namun dia kurang menjawab soalan.

Jurugambar juga mengambil peluang mengambil gambar haiwan-haiwan ternakan tersebut serta sekitar kandang.

Ladang penternakan babi di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat yang kini terbiar. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Tidak lama selepas itu, kami bergerak ke lokasi di mana Su­ngai Giling bertemunya dengan Pantai Batu Laut berdekatan rumah penduduk.

Ketika itu, keadaan air laut sedang surut menyebabkan da­sar Sungai Giling serta pasir di sepanjang pantai kelihatan kehitaman.

Bau semakin kuat apabila tinjauan dibuat lebih hampir ke Sungai Giling, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pencemaran di kawasan pesisir berkenaan.

Bau yang busuk dan warna kehitaman yang pekat dapat dilihat di hujung Sungai Giling menjadikan lokasi tersebut sebagai bukti pencemaran ladang ternakan babi di Tanjung Sepat.

Isu ternakan babi di Sela­ngor menjadi perdebatan susulan keputusan kerajaan negeri membenarkan operasi ternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030 di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.

Isu tersebut menjadi hangat selepas selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri itu.

Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan memandangkan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Baginda turut mengusulkan agar wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan ka­wasan penternakan babi seper­ti di Kuala Langat bagi merasai sendiri pengalaman sebenar yang dialami penduduk setempat.

Baginda turut menitahkan garis panduan bagi pemindahan ladang-ladang ternakan babi dari Tanjung Sepat, Kuala La­ngat ke Bukit Tagar, Hulu Sela­ngor supaya ia dilakukan dengan teliti dan harmoni.

Malah, baginda juga menekankan operasi penternakan ba­bi di negeri ini mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahte­raan alam sekitar serta keharmonian sosial di Selangor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN