KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) ‘makan’ besar sekali lagi selepas membelasah Seoul Phoenix 6-0 pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim naik ke tangga ketiga liga.
Turun dengan misi memburu kemenangan, tuan terpaksa menunggu sehingga ke minit-38 untuk mendapatkan jaringan awal menerusi rembatan deras Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gawang pelawat Suwan Ko.
Tujuh minit berselang, Emmanual Mbraga terus mempamerkan ketajaman penyudah dengan meledakan gol kedua KRW FC sekali gus menyaksikan pemain itu merekodkan jaringan peribadi ke-17 dalam saingan liga setakat ini.
Seoul Phoenix FC hampir merapatkan jurangan jaringan pada minit-minit akhir perlawanan, namun rembatan Seidou Ismaila berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang KRW FC Syafiq Afifi Suhaimi.
Bersambung babak kedua, tuan rumah memperoleh jaringan ketiga pada minit ke-51 menerusi jaringan Muhammad Zul Asyraf Zulkiefle sebelum Mbraga mencetak gol keempat menerusi sepakan penalti diminit ke-54.
Pemain gantian Nik Azli Nik Alias menambah derita pelawat dengan gol kelima pada minit ke-69.
Minit ke-76, Mbraga meledak hatrik dengan menjaringan gol keenam KRW FC sekali gus menutup malam gemilang tuan rumah.-UTUSAN










