KPM ambil 20,000 guru baharu persiapan laksana RPM

KPM ambil 20,000 guru baharu persiapan laksana RPM

WONG Kah Woh (dua, kiri) melawat Sekolah Menengah Yuk Choy di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pen­didikan (KPM) akan me­ngambil 20,000 guru baharu bagi memenuhi keperluan tenaga pe­nga­jar di sekolah seluruh negara.

Guru baharu itu akan dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pengambilan guru baharu itu adalah sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Selain itu, katanya, ia juga sebagai persiapan bagi meng­hadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.

“Proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Per­khidmatan Pendidikan (SPP).

“Gerak kerja telah dijadualkan seperti hebahan pengambilan guru yang dilaksanakan pada 23 Februari, selain permohonan dibuka (2 hingga 20 Mac 2026) dan proses saringan temuduga (27 April hingga 14 Mei),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Azam berkata, bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.

“Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, di IPOH, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek pembinaan bilik darjah tambahan berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan bilik darjah susulan pelaksanaan dasar kema­sukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun mulai 2027.

Beliau berkata, pembinaan menggunakan IBS lebih menjimatkan masa berbanding ka­edah konvensional yang lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.

“Selain isu ketersediaan guru, KPM juga sedang meneliti sekolah-sekolah yang mungkin menghadapi isu fasi­liti termasuk kekurangan bilik darjah.

“Perkara ini adalah penting untuk kita kenal pasti kerana bukan semua sekolah adalah sekolah padat dan tidak mampu menampung murid. Ada banyak sekolah yang masih ada ruang lagi dan itu tidak jadi masalah.

“Namun, untuk sekolah yang tidak ada ruang, maka KPM akan mengambil pendekatan untuk membina bilik darjah tambahan dengan cara IBS,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Yuk Choy di sini, semalam.

Menurut beliau, pembinaan menggunakan kaedah IBS bukanlah perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan di sekolah-sekolah padat seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

“Pembinaan menggunakan IBS berbeza dengan kaedah konvensional kerana pembinaan sebuah bangunan yang menempatkan enam hingga 12 bilik darjah secara konvensio­nal lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan berbanding sekitar empat hingga lima bulan menggunakan kaedah IBS,” katanya.

Tambah beliau, KPM sedang meneliti keperluan setiap sekolah dan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas menerima data yang diperlukan.

“Sejak pengumuman dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu, KPM telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan sekolah dan guru bersedia pada tahun hadapan.

“Langkah itu bukan sahaja untuk menampung murid Tahun Satu berusia enam tahun, tetapi juga bagi mereka yang akan memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN