Korban feri karam di selatan Filipina meningkat

Korban feri karam di selatan Filipina meningkat

ANGGOTA Pengawal Pantai Filipina membawa beg mayat mangsa yang terkorban dalam insiden feri karam di Pelabuhan Manila, semalam.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Sebuah feri dengan lebih 350 penumpang karam pada Isnin di selatan Filipina, mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 maut dan 24 masih hilang.

MV Trisha Kerstin 3 menghantar isyarat kecemasan sekitar pukul 1.50 pagi waktu tempatan, lebih kurang empat jam selepas berlepas dari Pelabuhan Bandar Zamboanga di hujung barat daya Mindanao, menurut pengawal pantai dalam satu kenyataan.

Komander Pengawal Pantai, Romel Dua berkata, sehingga kini 317 penumpang diselamatkan, manakala 18 lagi disahkan meninggal dunia dan 24 mangsa masih hilang.

“Sebuah pesawat pengawal pantai sedang dalam perjalanan untuk membantu operasi. Tentera Laut dan Tentera Udara juga menghantar aset mereka,” katanya kepada AFP.

Feri itu karam kira-kira lima kilometer ke timur Pulau Baluk-Baluk, sebahagian daripada rangkaian pulau wilayah Basilan di luar semenanjung Zamboanga.

Menurut penolong kecemasan Basilan, Ronalyn Perez, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran kerana terlalu ramai mangsa terselamat.

“Cabarannya sekarang ialah jumlah mangsa yang perlu ditangani. Kami kekurangan kakitangan pada masa ini,” kata Perez sambil memaklumkan sekurang-kurangnya 18 mangsa dibawa ke sebuah hospital tempatan.

Video yang dikeluarkan Pengawal Pantai Filipina menunjukkan mangsa yang terselamat sedang diselamatkan dan menerima rawatan perubatan.

“Kami belum dapat menentukan punca karam, tetapi kami diarahkan untuk menjalankan siasatan kemalangan maritim bagi mengenal pasti punca. Sehingga kini, fokus kami adalah pada operasi menyelamat,” kata Dua.

Dalam kenyataannya, pihak pengawal pantai menegaskan feri tersebut tidak membawa muatan berlebihan.

Negara kepulauan dengan 116 juta penduduk mempunyai sejarah panjang bencana yang melibatkan feri antara pulau yang beroperasi di lautnya.

Ramai penduduk bergantung kepada bot dan kapal murah dan kurang dikawal selia untuk pengangkutan antara lebih 7,000 pulau di negara itu, walaupun kemalangan kerap berlaku.- AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN