KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis menjadi pegawai kanan tentera keempat yang didakwa di mahkamah pada bulan ini.
Pendakwaan tersebut adalah rentetan daripada operasi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Op Parasit dan Op Star, yang menyaksikan sitaan aset melebihi RM16 juta.
Selain Mohamed Fauzi, turut didakwa di mahkamah ialah bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias.
Pada prosiding semalam, Mohamed Fauzi yang juga bekas Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) yang ke-30 didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah wang milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Mengikut pertuduhan, ketika pegawai tentera itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang RM5 juta milik tabung berkenaan dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 27 November 2023 di Kementerian Pertahanan di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau maksimum 20 tahun dan boleh disebat serta denda.
Pada 23 Januari lalu, Mohd. Nizam turut didakwa melakukan pecah amanah wang milik TKAT sebanyak RM3 juta dengan membuat pelaburan tambahan tanpa kelulusan di dalam syarikat yang sama.
Pada prosiding semalam, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee manakala Mohamed Fauzi diwakili peguam bela, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Chin How memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin bahawa kesalahan Mohamed Fauzi tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara sekiranya ingin berbuat demikian.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 16 Mac ini. – UTUSAN










