KHARTOUM: Kerajaan Sudan yang diterajui pihak tentera kembali ke ibu negara itu selepas hampir tiga tahun beroperasi dari pangkalan perang mereka di bandar Port Sudan di timur negara tersebut.
Perdana Menteri Sudan, Kamil Idris berkata kepada pemberita pada Ahad, ‘kerajaan harapan’ kini secara rasmi kembali ke Khartoum dan akan memulakan usaha untuk memperbaiki perkhidmatan bagi penduduk bandar itu yang terkesan teruk akibat konflik.
Pihak tentera sebelum ini dipaksa berundur oleh kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) apabila perang saudara tercetus antara kedua-dua pihak pada 2023.
Tentera berjaya merampas semula bandar itu dalam satu kejayaan besar pada Mac lalu.
Khartoum kini sedang pulih daripada bertahun-tahun pertempuran. Kira-kira lima juta penduduk melarikan diri dari bandar itu pada kemuncak konflik, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mereka yang tidak mahu atau tidak mampu meninggalkan bandar tersebut menggambarkan pendudukan RSF sebagai kejam, termasuk penjarahan secara besar-besaran dan pengambilalihan rumah orang awam oleh pejuang.
Sebahagian besar kawasan bandar itu musnah. Pada Oktober lalu, pegawai PBB, Ugochi Daniels, melaporkan bahawa perkhidmatan asas di Khartoum hampir tidak berfungsi.
Pada Ahad, Idris berkata, kerajaan akan berusaha meningkatkan bekalan elektrik, air, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di Khartoum.
Beliau turut mengisytiharkan 2026 akan menjadi tahun keamanan bagi Sudan. Sekurang-kurangnya 150,000 orang terkorban sejak perang tercetus.
PBB menyifatkan keadaan di Sudan sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan kira-kira 12 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Perang bermula selepas ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, berselisih dengan timbalannya yang juga ketua RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, sehingga mencetuskan perebutan kuasa yang ganas.
Kedua-dua pihak, RSF dan tentera Sudan, telah dituduh melakukan kekejaman sepanjang konflik tersebut.
Usaha antarabangsa untuk mencapai perdamaian gagal, manakala kedua-dua pihak menerima sokongan kuasa asing yang membekalkan senjata ke dalam negara itu.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) khususnya berada di bawah penelitian sejak kebelakangan ini berhubung dakwaan menyokong RSF, yang telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh negara tersebut. -BBC










