KUANTAN: Majlis Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG) menggesa kerajaan segera menetapkan tambang lantai bagi perkhidmatan e-hailing dan mengharamkan sistem tawar-menawar atau bidding yang didakwa menekan pemandu di peringkat akar umbi industri tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya menerima peningkatan aduan berhubung penurunan kadar tambang yang ketara sehingga menjejaskan kebajikan pemandu e-hailing.
Menurutnya, majlis berkenaan menerima pelbagai keluhan daripada pemandu e-hailing yang berpandangan bahawa kerosakan struktur tambang itu berpunca daripada pengenalan dan pelaksanaan sistem tawar-menawar dalam perkhidmatan e-hailing di Malaysia.
“Sistem bidding ini jelas tidak adil kepada pemandu kerana ia memberi kuasa kepada pengguna untuk menentukan harga bagi setiap perjalanan yang ditempah, tanpa mengambil kira kos operasi sebenar pemandu.
“Walaupun pemandu diberi pilihan menerima, membida atau menolak tempahan, sistem ini secara langsung membuka ruang kepada pengguna untuk bermain harga serta menekan kadar tambang ke tahap yang tidak munasabah.
“Apabila situasi ini berlaku, syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang lain tidak mempunyai pilihan selain menurunkan kadar tambang bagi terus bersaing dan kekal beroperasi dalam industri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar, kesan akhirnya, industri ini terjerumus ke dalam perang harga yang tidak sihat akibat tekanan pasaran, yang bukan sahaja merosakkan ekosistem industri e-hailing, malah menjadikan pemandu sebagai mangsa utama.
“Sehubungan itu, MyGiG mendesak agar pihak kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) segera campur tangan.
“Tuntutan ini juga selaras dengan kenyataan media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 11 Mei 2024, yang menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan tidak pernah membenarkan pelaksanaan sistem bidaan dalam perkhidmatan e-hailing,” katanya.
Beliau berkata, MyGiG menegaskan bahawa suara dan keluhan pemandu e-hailing yang juga merupakan rakyat Malaysia, perlu ditangani dengan segera dan berkesan oleh kerajaan.
“Ini bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara dan kelangsungan industri e-hailing negara dapat dipertahankan secara adil serta mampan,” katanya. – UTUSAN










