CYBERJAYA: Kerajaan akan terus membongkar ketirisan dana awam bagi memastikan hak rakyat tidak dirompak akibat kelemahan dan ketidakkemasan sistem.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan mampu mendapatkan kembali dana awam yang tiris, dicuri dan disalah guna.
Katanya, ini berdasarkan keupayaan beberapa agensi mendapatkan kembali dana awam yang tiris sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun lalu.
“Jika ditanya kepada saya, adakah jumlah ini mencukupi? Saya tidak yakin. Jumlah RM15.5 bilion itu menunjukkan masih banyak yang perlu kita lakukan.
“Dalam tempoh dua tahun lebih ini, kita berjaya menghasilkan tambahan sebanyak RM15.5 bilion. Ini adalah hak kita, hak rakyat, yang telah dirompak kerana kelemahan dan ketidakkemasan sistem sebelum ini.
“Ketirisan dana itu berpunca daripada kelompok yang mencari kesempatan yang menyebabkan ketirisan dan kehilangan dana kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Kastam Sedunia Ke-44 di sini, semalam.
Menurutnya, di sebalik kejayaan kutipan semula dana awam itu, beliau akui masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan mampu dicapai.
Namun, beliau berbangga dengan prestasi kutipan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun lalu malah percaya jabatan itu mempunyai keupayaan lebih baik daripada itu.
“Kita, sebagai satu keluarga, termasuk JKDM menerima cabaran bahawa kita mampu mengutip dana yang hilang, yang tiris, yang dicuri, dan mampu menyelamatkan bangsa serta negara kita.
“Saya juga yakin akan keupayaan Malaysia untuk meningkat ke tahap yang jauh lebih baik. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKDM yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk menyelamatkan negara kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Aris Rizana Mohd. Zainuddin berkata, JKDM telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM76.18 bilion sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, kutipan itu meningkat RM10.61 bilion atau 16.18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan dan profesionalisme organisasi malah membuktikan komitmen JKDM dalam memastikan hasil negara dipelihara serta dimanfaatkan semula untuk pembangunan negara, kebajikan rakyat dan penambahbaikan perkhidmatan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan, satu pasukan khas dicadang untuk diwujudkan bagi memperkukuhkan sistem audit negara sebagai langkah mencari jalan menutup sebarang ruang yang memungkinkan berlakunya kebocoran dana awam di semua peringkat kerajaan.
Anwar berkata, cadangan itu merupakan antara syor yang dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara supaya setiap tindakan pengauditan dapat diambil dengan lebih pantas daripada kebiasaan, sekali gus memberi kesan yang lebih menyeluruh.
“Kalau kita kekal dengan pemikiran tahap pencapaian lama, kita tidak akan ke mana-mana. Oleh itu, mesti ada satu keresahan yang bersifat positif tentang bagaimana untuk memperbaiki.
“Jadi, kita harus ada pasukan yang sentiasa memikir, merenung dan mencari jalan untuk memperbaiki mana-mana ruang yang memungkinkan kebocoran berlaku, ruang yang memungkinkan tindakan itu agak lebih perlahan daripada biasa,” katanya.-UTUSAN.










