Kebakaran hutan Victoria ranapkan 500 bangunan

Kebakaran hutan Victoria ranapkan 500 bangunan

KEBAKARAN hutan marak berhampiran Longwood, utara Victoria, ketika gelombang haba melanda Australia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Kerajaan negeri dan persekutuan memperuntukkan lebih 10 juta dolar Australia (RM27.2 juta) bagi membantu membersihkan lebih 500 struktur bangunan dan 404,000 hektar tanah yang musnah akibat kebakaran hutan di Victoria.

Ia termasuk sekurang-kurangnya 90 rumah dan 243 bangunan tambahan yang musnah dalam kebakaran meliputi Longwood, Euroa, Yarck dan kawasan sekitarnya serta tiang elektrik, infrastruktur, ternakan, tanah pertanian dan ladang anggur yang rosak teruk.

“Konsisten dengan pengalaman kebakaran sebelum ini, kontraktor negeri akan dibawa masuk untuk kerja pembersihan, dengan fokus membantu keluarga yang kehilangan tempat kediaman utama mereka tanpa insurans,” kata Ketua Menteri Victoria, Jacinta Allan.

Persatuan Petani Victoria memaklumkan lebih 15,000 ternakan mati akibat bencana alam itu dan jumlah tersebut dikhuatiri turut meningkat.

Pusat Kawalan Negeri (SCC) mengesahkan terdapat 12 kebakaran besar masih aktif di seluruh Victoria, kebanyakannya dijangka akan terus memusnahkan kawasan berkenaan selama beberapa hari lagi.

Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan Victoria, Tim Wiebusch berkata, kebakaran kini terkawal namun pihak berkuasa menjangkakan keadaan lebih serius sekitar 23 atau 24 Januari dan sedang dinilai setiap hari bersama Biro Meteorologi, sebelum maklumat risiko dikongsikan kepada komuniti.

Katanya, kebakaran Longwood turut meragut nyawa seorang penternak lembu di Aintree Farm Herefords, Maxwell Hobson bersama isterinya, Julie.

Kawasan Ravenswood dan Harcourt kehilangan 51 rumah dan tiga perniagaan, sementara infrastruktur kritikal seperti laluan kereta api Bendigo turut rosak.

Kebakaran Walwa berhampiran sempadan New South Wales turut memusnahkan empat struktur, pagar sepanjang 28 kilometer,, 584 hektar tanah pertanian dan ladang pokok pain seluas kira-kira 10,000 hektar.

Wiebusch berkata, Lebih 70 pesawat digunakan pada Selasa bagi memadam kebakaran dan angka kemusnahan dijangka meningkat apabila penilai dapat mengakses lebih banyak kawasan terjejas.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN