NEW YORK: Beberapa kad Pokemon bernilai tinggi dicuri dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai di New York, dengan jumlah kerugian dianggarkan AS$100,000 (RM405,700).
Imej daripada kedai itu menunjukkan seorang lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam mengacukan senjata yang kelihatan seperti pistol kepada individu yang berada di dalam kedai berkenaan.
Media Amerika Syarikat (AS) berkata, beberapa kad yang dicuri bernilai sehingga AS$5,500 (RM22,313) setiap satu.
Kad Pokemon menarik minat kanak-kanak serta pengumpul dewasa, dengan berbilion kad dicetak dan sebahagiannya dijual sehingga jutaan dolar.
Awal Januari lalu, kad Pokemon bernilai kira-kira AS$300,000 (RM1.2 juta) turut dicuri dalam satu lagi kes rompakan bersenjata di California.
Polis New York berkata, mereka menerima laporan pada 14 Januari berhubung tiga lelaki masuk ke kedai The Poke Court di Manhattan dan mengacukan senjata serta mengugut pelanggan.
“Mereka kemudian mengambil pelbagai barangan, wang tunai dan sebuah telefon,” kata seorang jurucakap.
Pemilik The Poke Court, Courtney Chin dalam satu video yang dimuat naik di Instagram berkata, semua pelanggan dan kakitangannya selamat.
Kad yang dicuri termasuk kad watak Pokemon terkenal seperti Pikachu, tikus kuning besar dengan ekor berbentuk panahan kilat.
Watak-watak daripada permainan Pokemon diadaptasi menjadi filem, siri animasi dan pelbagai barangan.
Francis itu mengumpul pendapatan pelesenan sebanyak AS$12 bilion (RM48.6 bilion) pada 2024, menurut penerbitan pakar License Global.- AFP










