KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan terhadap peserta program RXZ Forever Legend yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Februari ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini.
Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, ia melibatkan pemakaian topi keledar, pengubahsuaian motosikal serta penggunaan ekzos tidak mematuhi spesifikasi, selain memastikan peserta memiliki lesen memandu serta cukai jalan yang sah.
Menurutnya, pegawai serta anggota JPJ akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi tujuan pemantauan dan risikan, khususnya melibatkan pergerakan peserta sebelum dan selepas program berkenaan.
“Kita tidak mahu ada penunggang yang bertindak sesuka hati, berlumba atau memotong kenderaan lain secara berbahaya.
“Hal ini kerana ia boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Peningkatan Jati Diri, Disiplin dan Profesionalisme, di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, JPJ menyokong penganjuran aktiviti berunsur automotif yang melibatkan golongan muda, namun aspek keselamatan tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pergerakan beramai-ramai penunggang motosikal.
“Kami tidak terlalu menekan semasa program berlangsung kerana itu di bawah kawalan penganjur, namun kebimbangan utama adalah perjalanan mereka ketika datang dan pulang.
“JPJ juga bersedia bekerjasama dan membantu pihak polis sekiranya diperlukan demi memastikan keadaan terkawal dan selamat,” ujarnya.-UTUSAN







