WASHINGTON: Diplomat tertinggi Jerman memandang remeh risiko serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Greenland, meskipun Presiden Donald Trump berulang kali mengugut untuk merampas pulau itu daripada Denmark.
Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menolak potensi tindakan ketenteraan unilateral itu selepas pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kelmarin.
“Saya tidak mempunyai petunjuk ini sedang dipertimbangkan secara serius. Saya percaya terdapat kepentingan bersama dalam menangani isu keselamatan yang timbul di kawasan Artik, dan kita harus dan akan menanganinya.
“Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) kini sedang merangka rancangan yang lebih konkrit mengenai perkara itu yang akan dibincangkan bersama rakan kongsi AS,” katanya.
Lawatan Wadephul dibuat menjelang rundingan minggu ini di Washington antara Rubio dan diplomat tertinggi Denmark serta Greenland.
Trump dalam beberapa hari kebelakangan ini berikrar untuk AS mengambil alih Greenland, sama ada melalui tindakan secara baik atau yang lebih sukar.
Bagaimanapun, kerajaan Greenland pada Isnin menegaskan, pihaknya tidak akan menerima pengambilalihan AS dalam apa juga keadaan.
Greenland dan NATO juga berkata, mereka sedang berusaha memperkukuh pertahanan wilayah Artik itu, yang menjadi kebimbangan utama seperti disebut oleh Trump.
Presiden AS itu berulang kali mendakwa peningkatan aktiviti Artik oleh Russia dan China sebagai alasan mengapa Washington perlu merampas Greenland.
Namun, beliau juga mendakwa secara umum mengenai keinginannya untuk memperluas wilayah tanah yang dikawal oleh AS.- AFP










