TOKYO: Jepun menggesa China menarik balik kawalan eksport baharu yang lebih ketat ke atas produk berpotensi untuk kegunaan ketenteraan, termasuk kemungkinan mineral nadir bumi, dalam peningkatan pertikaian diplomatik antara Beijing dan Tokyo.
Kementerian Perdagangan China berkata, pihak berkuasa ‘memutuskan untuk memperketat kawalan eksport ke atas barangan dwiguna ke Jepun’, yang berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan tersebut diambil ketika China meningkatkan tekanan terhadap Tokyo selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada November mencadangkan negaranya mungkin bertindak secara ketenteraan jika berlaku sebarang serangan ke atas Taiwan.
Beijing menganggap pulau yang mentadbir sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak kemungkinan merampasnya secara paksa.
China juga lantang mengkritik pembangunan ketenteraan Jepun.
Walaupun kenyataan China tidak menyebut barangan tertentu, ia mencetuskan kebimbangan di Jepun bahawa Beijing mungkin menyekat bekalan mineral nadir bumi, sebahagiannya tersenarai dalam kategori barangan dwiguna China.
China setakat ini merupakan pembekal nadir bumi terbesar di dunia, yang penting untuk pelbagai produk teknologi daripada telefon pintar hingga jet pejuang.
Beberapa jam selepas pengumuman China itu, Setiausaha Agung Biro Hal Ehwal Asia dan Oceania Kementerian Luar Jepun, Masaaki Kanai, mengemukakan bantahan keras serta menuntut penarikan balik langkah tersebut.
Menurut Kementerian Luar Jepun dalam kenyataan kelmarin, beliau menyampaikan bantahan itu kepada Timbalan Ketua Misi Keduataan China, Shi Yong.
“Langkah berkenaan menyimpang secara ketara daripada amalan antarabangsa, sama sekali tidak boleh diterima dan amat dikesali,” kata Kanai.- AFP










