Jakarta berpotensi tenggelam walaupun ada tembok gergasi

Jakarta berpotensi tenggelam walaupun ada tembok gergasi

PENILAIAN Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) menganggarkan tanah di Jakarta mendap pada kadar purata 3.5 sentimeter (cm) setahun.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ibu negara Indonesia kini berdepan ancaman pemendapan tanah yang semakin serius, dengan pakar memberi amaran sebahagian kawasan Jakarta tenggelam dan menanggung kerugian besar terhadap ekonomi jika langkah mitigasi yang agresif tidak dilaksanakan.

Penilaian terbaharu Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) menganggarkan tanah di Jakarta mendap pada kadar purata 3.5 sentimeter (cm) setahun.

Kadar itu berbeza-beza mengikut bandar, dengan utara Jakarta mengalami beberapa kesan yang paling teruk. Sepanjang empat dekad lalu, kawasan tersebut mendap sehingga empat meter, sekali gus menyebabkan kira-kira 40 peratus daripadanya berada di bawah paras laut.

“Tanah di Jakarta semakin tenggelam. Bahagian utara bertukar menjadi ‘mangkuk’ dan kawasan panas banjir, terdedah kepada limpahan sungai dan air laut serta hujan lebat,” kata penyelidik kanan BRIN, Yus Budiyono.

Lokasi bandar itu di kawasan delta rendah, tempat sungai dari tanah tinggi di selatan bertemu sebelum mengalir ke Teluk Jakarta, menjadikannya terdedah kepada banjir.

Pembangunan tidak terkawal dan pengambilan air bawah tanah secara berlebihan pula memburukkan lagi masalah tersebut.

Yus menganggarkan Jakarta mengalami kerugian sekurang-kurangnya AS$186 juta (RM752.9 juta) setiap tahun akibat risiko banjir, dan angka itu dijangka meningkat kepada AS$421 juta (RM1.7 bilion) menjelang 2030 jika pemendapan tanah terus berlaku tanpa dikawal.

Sejak 2014, pentadbiran Jakarta dan kerajaan pusat membina kira-kira 20 kilometer (km) benteng konkrit sebagai sebahagian daripada projek Pembangunan Pantai Bersepadu Ibu Kota Negara (NCICD) sepanjang 46 km, bertujuan melindungi bandar itu daripada banjir pantai.

Presiden Prabowo Subianto turut mengumumkan rancangan bernilai berbilion dolar untuk membina tembok laut gergasi, sebuah megastruktur sepanjang 500km di pesisir utara Jawa yang direka bagi melindungi komuniti berisiko banjir dari Banten hingga ke Jawa Timur.

Walaupun tembok laut sedia ada di Jakarta membantu mengehadkan kemasukan air laut berbanding kawasan pantai yang tidak dilindungi seperti Demak di Jawa Tengah, Yus berkata, langkah berasaskan struktur sahaja tidak mampu menangani punca utama pemendapan tanah, iaitu pengekstrakan air bawah tanah secara berlebihan.

Ramai penduduk Jakarta masih bergantung sepenuhnya pada air bawah tanah untuk kegunaan domestik kerana pengendali air paip milik bandar, PAM Jaya, belum mencapai liputan penuh.

Air bawah tanah juga diekstrak secara meluas untuk tujuan perindustrian sebelum amalan itu diharamkan oleh kerajaan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN