Israel bunuh 100 kanak-kanak Gaza sejak gencatan senjata

Israel bunuh 100 kanak-kanak Gaza sejak gencatan senjata

KANAK-KANAK Palestin bermain di kem penempatan di Nuseirat, tengah Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak terbunuh akibat serangan udara dan operasi darat Israel di Gaza sejak bermulanya gencatan senjata rapuh tiga bulan lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Agensi Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) memaklumkan sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak lelaki dan 40 kanak-kanak perempuan terbunuh di wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak awal Oktober.

“Kanak-kanak ini terbunuh akibat serangan udara, serangan dron termasuk dron bunuh diri. Mereka terbunuh akibat tembakan kereta kebal, peluru hidup atau dron quadcopter.

“Tanpa ragu, jumlah kematian kini pada angka 100,” katanya, sambil menambah jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi.

“Gencatan senjata yang memperlahankan pengeboman adalah satu kemajuan, tetapi gencatan senjata yang masih menguburkan kanak-kanak adalah tidak mencukupi,” ” kata jurucakap UNICEF, James Elder, kepada wartawan di Geneva.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Gaza yang menyelenggara rekod korban melaporkan, angka lebih tinggi melibatkan 165 kanak-kanak terbunuh sepanjang tempoh gencatan senjata rapuh itu daripada keseluruhan 442 kematian.

“Selain itu, tujuh kanak-kanak meninggal dunia akibat terdedah kepada cuaca sejuk sejak awal tahun ini,” kata Pengarah Jabatan Komputer Kementerian Kesihatan, Zaher Al-Wahidi, kepada AFP.

Elder menegaskan, serangan berterusan Israel itu berlaku selepas lebih dua tahun peperangan yang telah menjadikan kehidupan kanak-kanak Gaza amat sukar dibayangkan.

“Mereka masih hidup dalam ketakutan. Kerosakan psikologi tidak dirawat dan ia semakin mendalam serta sukar dipulihkan semakin lama keadaan ini berlarutan,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN