ISF Group sasar raih RM61.15 juta menerusi IPO Pasaran ACE - Utusan Malaysia

ISF Group sasar raih RM61.15 juta menerusi IPO Pasaran ACE

JEFF Ai Boon Chen (tiga dari kiri) bersama basisan pengurusan tertinggi kumpulan semasa pelancaran prospektus di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ISF Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM61.15 juta menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Syarikat yang dijadualkan tersenarai pada 28 Januari itu bakal menerbitkan 185.30 juta saham baharu pada harga tawaran RM0.33 sesaham.

Pengarah Urusan ISF Group, Jeff Ai Boon Chen berkata, penyenaraian itu merupakan satu pencapaian signifikan bagi syarikat yang bermula sebagai perniagaan keluarga pada 2001, kini berkembang dalam projek perpaipan berskala besar.

Beliau berkata, dana yang diperoleh daripada IPO itu akan digunakan untuk mempercepatkan pelan pengembangan perniagaan syarikat, khususnya dalam menampung permintaan sektor industri dan infrastruktur yang semakin meningkat.

“Daripada jumlah hasil RM61.15 juta tersebut, sebanyak RM39.90 juta atau 65.25 peratus akan diperuntukkan sebagai modal kerja.

“Kami juga memperuntukkan RM11.35 juta atau 18.56 peratus bagi tujuan penubuhan dan pengembangan fasiliti operasi, manakala bakinya akan digunakan untuk pembangunan aktiviti perniagaan, pengembangan tenaga kerja, pembayaran balik pinjaman serta perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam kenyataan.

Boon Chen berkata, ISF Group mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan buku pesanan belum dibilkan berjumlah RM120.68 juta setakat 9 Disember 2025.

Katanya, angka itu memberikan kejelasan pendapatan kepada kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028.

“Segmen premis pengguna akhir menyumbang sebahagian besar buku pesanan iaitu sebanyak RM117.47 juta, manakala baki RM3.21 juta disumbangkan oleh projek perpaipan infrastruktur.

Dari segi prestasi kewangan, ISF Group merekodkan lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM9.64 juta bagi tahun kewangan 2024, berbanding hanya RM0.93 juta pada tahun 2022, sekali gus mencerminkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) dua tahun sebanyak 221.37 peratus.

Berdasarkan harga IPO 33 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan kepada 1 bilion saham, ISF Group dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM330 juta semasa penyenaraian kelak.

Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN