Insiden tembak jururawat serlah tindakan ‘kuku besi’ pentadbiran Trump

Insiden tembak jururawat serlah tindakan ‘kuku besi’ pentadbiran Trump

SEORANG penunjuk perasaan memegang papan tanda mengecam Donald Trump ketika berhimpun dalam perarakan Hari Kebenaran dan Kebebasan di Minneapolis, Minnesota.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Kematian seorang jururawat yang ditembak ejen persekutuan di Minneapolis mencetus perdebatan baharu tentang pentadbiran ‘kuku besi’ Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta kontroversi hak pemilikan senjata api di negara itu.

Ironinya, insiden ini berlaku ketika Trump mengumumkan masih memerhati Iran dan secara terbuka menyokong penunjuk perasaan di negara itu, malah mengecam sebarang hukuman pihak berkuasa terhadap mereka.

Pegawai pentadbiran dan Trump sendiri mempertahankan tembakan terhadap Alex Pretti, 37, walaupun kenyataan rasmi dan alasan mempertahankan diri jelas bercanggah dengan rakaman video kejadian.

Bekas Presiden AS turut mengecam pembunuhan tersebut dengan Bill Clinton menuduh pentadbiran Trump berbohong, manakala Barack Obama menyatakan nilai-nilai AS sedang ‘diserang’.

“Semua ini tidak boleh diterima. Jika kita menyerahkan kebebasan kita selepas 250 tahun, kita mungkin tidak akan memperolehinya kembali,” kata Clinton dalam satu kenyataan sambil menggesa rakyat AS untuk bangkit dan bersuara.

Pretti, seorang jururawat unit rawatan rapi (ICU) dapat dilihat dalam video sedang merakam menggunakan telefon bimbitnya ketika seorang ejen persekutuan menolak seorang wanita dan menumbuk wanita lain.

Pretti kemudian mengangkat tangan kirinya untuk melindungi diri daripada semburan lada ejen itu. Beberapa ejen menahannya, memaksanya berlutut, sebelum seorang daripada mereka melepaskan empat das tembakan ke arah Pretti di belakangnya, menurut rakaman video yang disahkan oleh media AS.

REAKSI POLITIK DAN HAK SENJATA

Pentadbiran Trump menuduh Pretti cuba mencederakan ejen, sambil menunjukkan pistol yang kononnya ditemukan pada dirinya. Bagaimanapun, video rakaman menunjukkan Pretti tidak mengeluarkan senjata itu sebelum ditembak.

Malah, seorang ejen dilihat mengeluarkan pistol dari pinggang Pretti selepas menembak lelaki itu.

Bekas ketua pejabat Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di Baltimore, Darius Reeves menyifatkan kekurangan komunikasi antara ejen persekutuan semakin membimbangkan.

Kerajaan Minnesota turut menegaskan Pretti mempunyai permit sah untuk membawa senjata tersembunyi di tempat awam, yang dijamin sebagai hak perlembagaan oleh Mahkamah Agung AS pada 2022.

Insiden ini berlaku kurang tiga minggu selepas ejen imigresen menembak Renee Good, juga berusia 37 tahun, di bandar yang sama.

Beberapa senator dari Parti Republikan menyeru siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan itu dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

Pentadbiran Trump bagaimanapun secara kontroversi mengecualikan penyiasat tempatan daripada siasatan terhadap kematian Good.

Pihak berkuasa negeri dan tempatan sedang menyiasat sama ada ejen yang menembak Good melanggar undang-undang Minnesota.

Jabatan Kehakiman AS dilaporkan menarik diri daripada siasatan itu dan sekurang-kurangnya 12 pendakwa persekutuan meletak jawatan berikutan pengendalian kes Good.

Atas permintaan Minnesota, seorang hakim persekutuan mengeluarkan perintah sementara pada Sabtu malam yang melarang pentadbiran Trump memusnahkan atau mengubah bukti berkaitan kes tembakan Pretti.

Trump mendakwa kematian ini berpunca daripada kekacauan yang disebabkan oleh ahli politik Demokrat Minnesota, termasuk Gabenor, Tim Walz dan Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey.

“Tragisnya, dua warganegara AS kehilangan nyawa akibat kekacauan yang disebabkan Demokrat,” kata Trump di platform Truth Social.

Versi pentadbiran Trump kononnya Pretti dan Good cuba menyerang ejen persekutuan mendapat kecaman daripada polis tempatan dan pegawai Demokrat.

Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, menegaskan rakaman video tersebut berbicara sendiri dan menyifatkan versi pentadbiran Trump sebagai sangat membimbangkan, kerana tiada bukti Pretti mengeluarkan senjata.

Insiden tersebut turut menarik perhatian nasional kerana ia membabitkan pertindihan isu hak untuk membawa senjata yang dibenarkan undang‑undang dengan penggunaan kuasa oleh ejen persekutuan.

Beberapa kumpulan hak senjata turut mengecam tindakan ejen ICE itu, termasuk Pemilik Senjata Amerika dan Persatuan Senjata Api Kebangsaan (NRA).

Mereka menekankan membawa senjata secara sah bukanlah alasan untuk ditembak.

Ahli Kongres, Thomas Massie, seorang Republikan, juga menegaskan membawa senjata adalah hak yang dijamin Perlembagaan dan bukan hukuman mati. Gabenor California, Gavin Newsom turut mengecam pegawai yang membenarkan tindakan ejen tersebut.

Pada Ahad, pemimpin perniagaan daripada 60 syarikat yang berpangkalan di Minnesota termasuk peruncit Target, syarikat makanan General Mills dan beberapa francais sukan profesional menandatangani surat terbuka menyeru usaha meredakan segera ketegangan yang tercetus.

Surat berkenaan turut menggesa pihak berkuasa negeri, tempatan serta persekutuan bekerjasama untuk mencari penyelesaian sebenar.

Ribuan penunjuk perasaan dilaporkan meneruskan demonstrasi di jalan-jalan utama di Minneapolis, menggesa kerahan ejen ICE di negeri itu segera ditarik balik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN