JAKARTA: Kerajaan Indonesia memfailkan beberapa saman yang menuntut ganti rugi lebih 4.8 trilion rupiah (RM1.15 bilion) terhadap enam firma, selepas banjir maut melanda seluruh Sumatera dan meragut lebih 1,000 nyawa tahun lalu.
Ahli alam sekitar, pakar dan kerajaan menyalahkan penebangan hutan atas peranannya dalam bencana itu, yang menghanyutkan lumpur serta balak ke kampung-kampung di bahagian barat laut pulau itu.
Kerajaan sedang menuntut 4.8 trilion rupiah daripada enam syarikat yang didakwa menyebabkan kerosakan tidak dinyatakan terhadap kawasan seluas lebih 2,500 hektar, menurut kenyataan kementerian alam sekitar pada Khamis.
Jumlah itu merangkumi kedua-dua denda untuk kerosakan serta nilai wang yang dicadangkan bagi usaha pemulihan.
Kementerian Alam Sekitar enggan memberikan butiran lanjut ketika bercakap dengan AFP mengenai dakwaan kerosakan disebabkan oleh pihak defendan, yang hanya disenaraikan berdasarkan inisial dalam kenyataan tersebut.
Tindakan saman itu difailkan ke mahkamah pada 15 Januari di Jakarta dan Medan, Sumatera Utara, tambah kementerian tersebut.
“Kami berpegang teguh pada prinsip bahawa pihak yang mencemar mesti membayar,” kata Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq dalam satu kenyataan.
Hanif turut memberi amaran mana-mana syarikat yang mengaut keuntungan dengan merosakkan ekosistem mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk memulihkannya.
Kumpulan-kumpulan alam sekitar berkata, kerajaan juga memikul sebahagian tanggungjawab apabila memberikan hak kepada syarikat untuk membersihkan kawasan tanah yang luas.
Aktiviti perlombongan, perladangan dan kebakaran menyebabkan penebangan kawasan hutan hujan Indonesia yang subur sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
Lebih 240,000 hektar hutan primer hilang pada 2024, menurut analisis oleh projek ‘Nusantara Atlas’ milik syarikat pemuliharaan The TreeMap.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni berkata pada Disember, kerajaan akan membatalkan 22 permit perhutanan di seluruh negara, termasuk permit yang merangkumi lebih 100,000 hektar di Sumatera.
Raja tidak menyatakan sama ada keputusan itu berkaitan dengan bencana tersebut, namun beliau sebelum ini mengatakan banjir itu memberi peluang untuk menilai semula dasarnya.
“Pendulum antara ekonomi dan ekologi nampaknya berayun terlalu jauh ke arah ekonomi dan perlu ditarik kembali ke tengah,” katanya ketika itu.- AFP









