SHAH ALAM: Ibu bapa dikehendaki supaya datang ke sekolah untuk mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 daripada kerajaan yang mula diedarkan sejak hari pertama persekolahan 2026, semalam dan hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, agenda utama penyerahan bantuan tersebut adalah untuk memastikan ibu bapa mengetahui perkembangan pembelajaran anak masing-masing.
“Sebenarnya sudah mula semalam bagi sekolah (di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu). Hari ini BAP dilaksanakan dan akan diteruskan dengan agenda paling penting untuk ibu bapa datang ke sekolah untuk menerimanya.
“Akan ada sesi bersama ibu bapa bersama guru untuk mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak. Jadi, kita harap ibu bapa ambil peluang itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, bantuan tersebut merupakan komitmen Kerajaan Madani bagi memastikan semua ibu bapa dan murid tanpa kecuali menerima manfaat tersebut bagi tujuan persekolahan.
Kelmarin, Kementerian Kewangan dilapor memaklumkan BAP diserahkan kepada kira-kira 5.2 juta murid sekolah termasuk pelajar tingkatan 6 secara berperingkat mulai semalam melibatkan peruntukan keseluruhan RM800 juta.
Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Regent, Elmina, di sini. Seramai 206 murid di sekolah itu memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026. – UTUSAN










