RABAT: Kemarau selama tujuh tahun di Maghribi berakhir selepas negara itu menerima hujan lebat pada musim sejuk kali ini, meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelumnya.
Menteri Air, Nizar Baraka berkata kelmarin, paras hujan setakat musim sejuk tahun ini meningkat 95 peratus berbanding sebelumnya dan 17 peratus melebihi purata bermusim.
Data rasmi menunjukkan kadar pengisian empangan turut melonjak kepada 46 peratus, dengan beberapa takungan utama penuh.
Hujan tersebut memberikan kelegaan kepada sektor pertanian selepas bertahun-tahun menghadapi sekatan air.
Tujuh tahun kemarau menjejaskan empangan Maghribi, mengurangkan hasil gandum dan mengecilkan jumlah ternakan.
Keadaan itu juga mendorong kehilangan pekerjaan besar-besaran dalam sektor pertanian dan memaksa negara mempercepatkan rancangan penyahgaraman.
Maghribi menyasarkan untuk membekalkan 60 peratus air minumannya daripada air laut yang dirawat menjelang 2030, meningkat daripada sasaran terdahulu iaitu 25 peratus.
Manakala, air empangan pula dikhaskan untuk kawasan pedalaman negara itu, kata Baraka kepada Reuters.










