PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pelaksanaan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai semula kemasukan sisa plastik dan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh enam bulan itu dicadangkan sebagai langkah percubaan bagi meneliti implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta keberkesanan sistem penguatkuasaan sedia ada.
Menurutnya, Malaysia tidak memerlukan kemasukan sisa plastik dan e-waste dalam jumlah yang berlebihan.
“Perkara ini akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste di Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Azam berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu mencerminkan pengiktirafan Kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-waste bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar.
“Sebaliknya, ia telah berkembang menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional,” jelasnya.
Dalam mesyuarat berkenaan, beliau turut menegaskan keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya, JKDM berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967.
“Manakala JAS bertanggungjawab melaksanakan dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.
“MITI pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport,” katanya.
Pada 1 Julai tahun lalu, Malaysia mula mengetatkan sekatan import sisa plastik dengan kebanyakan import diharamkan kecuali yang dibenarkan melalui sistem permit SIRIM dan MITI.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kemasukan sisa plastik asing serta memastikan hanya sisa yang sesuai untuk dikitar semula dibenarkan masuk ke negara ini.
Pada 8 Disember tahun lalu, menerusi surat Ketua Setiausaha Negara, SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan petugas khas berkenaan, sekali gus menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional yang lebih menyeluruh.
Isu tersebut turut berkait rapat dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.
Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023, manakala Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik. – UTUSAN









