Hamas sedia bubar kerajaan Gaza

Hamas sedia bubar kerajaan Gaza

ANGGOTA pejuang Hamas mengawal kawasan ketika pekerja Mesir bersama ahli Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mencari mayat tebusan terakhir di kawasan kejiranan Zeitoun, di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas akan membubarkan kerajaan sedia ada di Gaza sebaik sahaja jawatankuasa teknokrat Palestin mengambil alih pentadbiran wilayah itu, seperti ditetapkan dalam pelan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kumpulan pejuang tersebut tidak memberikan butiran mengenai bila perubahan itu akan berlaku.

Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, masih belum mengumumkan senarai tokoh teknokrat yang bakal mengisi jawatankuasa itu.

Mereka sepatutnya tidak bergabung secara politik dan masih tidak jelas sama ada Israel dan AS akan meluluskan nama-nama tersebut.

Lembaga Keamanan, sebuah badan antarabangsa yang dipimpin Presiden AS, Donald Trump, dijangka menyelia pentadbiran baharu serta aspek lain gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, termasuk pelucutan senjata Hamas dan penempatan pasukan keselamatan antarabangsa.

Senarai ahli lembaga tersebut masih belum diumumkan. Sementara itu, jumlah kematian pasca gencatan senjata di Gaza terus meningkat, dengan tiga warga Palestin dilaporkan maut akibat ditembak Israel.

Gencatan senjata bermula dengan pemberhentian pertempuran dan pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk beribu-ribu rakyat Palestin di penjara Israel.

Perjanjian tersebut masih berada pada fasa pertama, sementara usaha diteruskan untuk mendapatkan kembali mayat tebusan terakhir yang masih berada di Gaza.

Seorang pegawai Mesir yang enggan dinamakan mendakwa, Hamas sedang menghantar delegasi ke rundingan bersama pegawai Kaherah, Qatar dan Turkiye untuk membincangkan peralihan ke fasa kedua perjanjian tersebut.

Jurucakap Hamas, Hazem Kassem, dalam kenyataan di saluran Telegram pada Ahad, menggesa supaya pembentukan jawatankuasa teknokrat dipercepatkan.

Menurut pegawai Mesir itu, Hamas dijangka bertemu dengan beberapa lagi puak Palestin lain minggu ini bagi memuktamadkan pembentukan jawatankuasa berkenaan, dengan Khalil Al-Hayya mengetuai delegasi kumpulan itu untuk rundingan.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN