KUANTAN: Seorang guru wanita berusia 38 tahun berdepan detik hitam apabila wang simpanannya berjumlah RM325,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
Mangsa diperdaya secara berperingkat selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebelum disambungkan kepada polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima laporan polis daripada mangsa yang memaklumkan kejadian tersebut berlaku sejak 25 September tahun lalu.
“Suspek memaklumkan konon terdapat beberapa akaun bank dibuka atas nama mangsa di Johor dan akaun tersebut terlibat kes pengubahan wang haram. Bagi tujuan siasatan, mangsa diarahkan memindahkan wang sebagai jaminan ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa melakukan 21 transaksi pindahan wang daripada akaun bank miliknya ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh 29 September hingga 4 November 2025. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa RM325,000 yang melibatkan wang simpanan sendiri dan pinjaman bank.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi suspek manakala nombor telefon disekat dan wang dijanjikan untuk dipulangkan masih tidak diterima,” katanya. – UTUSAN










