Guna YouTube belajar buat senjata api, ambil upah kutip hutang ceti haram

Guna YouTube belajar buat senjata api, ambil upah kutip hutang ceti haram

MOHD. Yusoff Mamat (dua kanan) bersama pegawai kanan menunjukkan rampasan senjata api semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menahan dua beradik dan merampas selaras senapang serta dua pucuk pistol buatan sendiri yang digunakan untuk mengambil upah mengutip hutang ceti haram dalam serbuan di Kampung Seneng, Jelawat, Bachok semalam.

Dalam serbuan pukul 5 petang itu, polis turut merampas dua pucuk pistol tiruan, 27 biji serbuk kaliber, kelopak peluru (2), sebuah motosikal dan telefon bimbit (3).

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang besi itu mempelajari selok-belok pembuatan senjata api tersebut menerusi YouTube.

Katanya, kesemua bahan-bahan untuk membuat senjata api itu dibeli secara dalam talian melalui Shopee.

“Kedua-dua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu dan berjaya mengutip hutang ah long sebanyak RM200,000 di sekitar Bachok serta Pasir Puteh.

“Kita tidak menolak kemungkinan senjata api itu digunakan untuk menakut-nakutkan peminjam ceti haram semasa mengutip hutang tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, semasa ditahan kedua-dua suspek positif dadah hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka.

Katanya, semakan turut mendapati kedua-dua beradik itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk narkotik.

“Suspek direman bermula hari ini sehingga Sabtu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Siasatan lanjut kita lakukan mengikut Seksyen 8 (a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN