Gempur salah laku semua peringkat

Gempur salah laku semua peringkat

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan jemaah ketika hadir menunaikan solat jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Batu Caves, Gombak, semalam. – Utusan/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lampu hijau kepada badan penguat kuasa menggempur semua agensi Ke­rajaan Pusat dan negeri dalam usaha memperbaiki kelemahan tadbir urus yang merosakkan integriti sektor awam.

Malah, Perdana Menteri yang masih belum berpuas hati dengan tahap penguatkuasaan, mahu agensi penguat kuasa turut ‘membersihkan’ pihak ber­kuasa tempatan (PBT) daripada sebarang salah laku.

Anwar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membincangkan mengenai pe­nguatkuasaan dan beliau sedia maklum berhubung beberapa tindakan yang telah diambil.

“Beberapa pelaksanaan dan penguatkuasaan itu lemah. Jadi, mesti ada gerakan dan ranca­ngan yang menyeluruh melibatkan seluruh kekuatan jentera negara barulah boleh negara ini diperbaiki.

“Tetapi, tentunya kerosakan berpunca dari atas. Sebab itu, saya tekankan penguatkuasaan di peringkat atasan seperti Ke­tua Setiausaha, Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah termasuklah Jemaah Menteri lebih harus dipantau dan diteliti,” katanya kepada pemberita selesai menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah Greenwood di sini, semalam.

Rabu lalu, Perdana Menteri memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa untuk melaksa­nakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat.

Beliau memberi amaran itu berikutan masih wujud kelemahan serius dalam agensi pe­nguatkuasaan kerajaan.

Katanya, beliau sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini.

Perdana Menteri turut tekankan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di pe­ringkat bawahan supaya be­tul-betul ada kesan positif bagi rakyat dan negara.

“Saya juga tekankan sekarang di peringkat bawah soal gerai, pelaksanaan kebersihan, kemasukan pekerja luar yang tak ikut peraturan iaitu pelanggaran undang-undang orang-orang dari negara asing bekerja dan diberi laluan tanpa ikut peraturan.

“Jadi oleh itu saya telah kerahkan dan saya mahu tindakan yang kita umumkan beberapa hari lalu diteruskan sehingga betul-betul ada kesan positif baik bagi rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan memberi penjelasan termasuk di Parlimen mengenai dakwaan pembangkang kononnya 5,207 hektar tanah negara diserahkan kepada Indonesia.

“Ini masalah pembangkang, dia (pembangkang) guna kebebasan bercakap merapu, bohong, guna Islam, guna nama Islam untuk tipu, guna nama Islam (untuk) tipu, guna fakta salah.

“Kalau dia tanya kami, minta Perdana Menteri beri penjelasan tak apa. (Ini tidak) dia buat hukuman, menipu terus menerus. Saya tak boleh terima alasan sebegini. Ini bukan perangai pembangkang yang wajar dalam negara kita. Mesti bertanggungjawab.

“Tak perlu bagi penjelasan (di Parlimen). Dia mesti bertanggungjawab, buat tuduhan, menipu, memfitnah terus menerus dan kita tidak boleh terima cara, kaedah terima cara politik buruk dan busuk seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×