MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.5 skala Richter menggegarkan ibu negara Mexico dan kawasan pelancongan di pantai Pasifik pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan menyebabkan kerosakan sederhana di sebuah bandar kecil berhampiran pusat gempa.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku sedikit sebelum pukul 8:00 pagi berhampiran Acapulco, sebuah pelabuhan utama dan pusat peranginan pantai.
Gegaran gempa turut dirasai sejauh kira-kira 400 kilometer (250 batu) ke utara di Mexico City, menyebabkan penggera berbunyi dan orang ramai bergegas ke jalan raya demi keselamatan, selain mengganggu cuti hujung minggu.
Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari apartmennya di tingkat dua, menurut pihak berkuasa tempatan.
Terdapat 12 lagi individu cedera, menurut Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, dalam hantaran di media sosial, tetapi tiada laporan mengenai kerosakan besar di bandar terbesar negara itu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, terpaksa meninggalkan istana presiden semasa sidang akhbar biasa beliau berikutan gempa bumi.
Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan Mexico memaklumkan pusat gempa terletak 14 kilometer ke barat daya bandar San Marcos, negeri Guerrero.
Sheinbaum berkata, tiada laporan segera mengenai kerosakan besar, tetapi di San Marcos, kesan gempa jelas kelihatan.
Seorang wanita berusia 50-an maut apabila rumahnya runtuh menimpa dirinya, menurut Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado.
Datuk Bandar San Marcos, Misael Lorenzo Castillo, berkata kira-kira 50 rumah musnah dan semua rumah mengalami keretakan.
Mexico terletak di antara lima plat tektonik, menjadikannya antara negara yang paling aktif secara seismik di dunia.- AFP










