Gempa bumi 6.4 skala Richter gegar selatan Filipina

Gempa bumi 6.4 skala Richter gegar selatan Filipina

GEMPA bumi berukuran 6.4 skala Richter melanda pantai selatan Filipina hari ini.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter melanda pantai selatan Filipina hari ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan atau laporan segera mengenai kerosakan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa bumi itu, pada awalnya dilaporkan berukuran 6.7 skala Richter pada kedalaman 58.5 kilometer (km), kira-kira 27km ke timur bandar Santiago di pulau Mindanao.

Seorang penyelamat di wilayah timur Davao Oriental, Nash Paragas, memberitahu AFP tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan.

“Ada gegaran. Saya nampak beberapa kereta bergerak, tetapi ia hanya berlaku seketika, kira-kira lima saat,” katanya.

Oktober lalu, Mindanao Timur digegarkan oleh dua gempa bumi berukuran 7.4 dan 6.7 skala Richter yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang.

Kejadian itu disusuli gempa berukuran 6.9 skala Richter beberapa hari sebelumnya yang meragut 76 nyawa serta memusnahkan atau merosakkan kira-kira 72,000 rumah di wilayah Cebu di tengah Filipina, menurut angka rasmi kerajaan.

Gempa bumi merupakan kejadian hampir setiap hari di Filipina, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, zon aktiviti seismik tinggi yang membentang dari Jepun, melalui Asia Tenggara hingga merentasi lembangan Pasifik.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN