COPENHAGEN: Demonstrasi besar-besaran dijadualkan di seluruh Denmark dan Greenland pada Sabtu bagi membantah rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengambil alih pulau Artik itu.
Ribuan orang di media sosial bercadang untuk menyertai himpunan yang dianjurkan oleh persatuan Greenland di Copenhagen, Aarhus, Aalborg, Odense, dan ibu negara Greenland, Nuuk.
“Matlamatnya adalah untuk menyampaikan mesej yang jelas dan bersatu tentang penghormatan terhadap demokrasi Greenland dan hak asasi manusia ,” kata Uagut, sebuah persatuan Greenland di Denmark, menerusi laman webnya.
Protes itu berlaku selepas amaran Trump pada Jumaat untuk mengenakan tarif ke atas negara-negara yang menentang rancangan beliau untuk mengambil alih Greenland, yang merupakan wilayah autonomi Denmark.
Himpunan di Nuuk dijadualkan bermula pada pukul 4:00 petang waktu tempatan, bagi membantah ‘rancangan haram Amerika Syarikat untuk menguasai Greenland, menurut penganjur.
Para penunjuk perasaan dijangka berarak ke konsulat AS sambil membawa bendera Greenland.
Sementara itu, perhimpunan di Copenhagen dijadualkan bermula pada pukul 12:00 tengah hari waktu tempatan, dan akan berhenti sebentar di hadapan kedutaan AS di ibu negara Denmark, kira-kira sejam kemudian.
“Perkembangan kebelakangan ini menekan Greenland dan rakyat Greenland, sama ada di Greenland mahupun di Denmark. Apabila ketegangan meningkat dan orang ramai berada dalam keadaan berjaga-jaga, kita berisiko mencetuskan lebih banyak masalah daripada penyelesaian untuk diri kita sendiri dan antara satu sama lain.
“Kami merayu kepada rakyat Greenland, baik di Greenland mahupun di Denmark, untuk terus bersatu,” kata pengerusi Uagut, Julie Rademacher, dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP, sambil menyeru kepada ‘kesatuan’.
Uagut, bersama gerakan rakyat ‘Hands Off Greenland’, serta Inuit, iaitu gabungan pertubuhan Greenland, menganjurkan demonstrasi tersebut bersempena lawatan delegasi dwipartisan ahli Kongres AS ke Copenhagen.
Di laman Facebook acara tersebut, sekurang-kurangnya 900 orang di Greenland merancang untuk mengambil bahagian di wilayah itu, yang mempunyai jumlah penduduk kira-kira 57,000 orang.
“Dengan demonstrasi ini, kami ingin menunjukkan bahawa kami sedang mengambil tindakan, kami berdiri bersama dan kami menyokong ahli politik, diplomat dan rakan kongsi kami,” kata Kristian Johansen, salah seorang penganjur, dalam satu kenyataan.
“Kami menuntut penghormatan terhadap hak negara kami untuk menentukan nasib sendiri dan untuk kami sebagai rakyat,” tambah Avijaja Rosing-Olsen, seorang lagi penganjur.- AFP










