PARIS: Hampir 3.8 bilion penduduk dunia dijangka berdepan gelombang haba ekstrem menjelang 2050, dengan negara-negara tropika akan menanggung beban yang lebih teruk, manakala kawasan beriklim sejuk juga perlu menyesuaikan diri.
Permintaan terhadap sistem penyejukan dijangka meningkat secara mendadak di negara besar seperti Brazil, Indonesia dan Nigeria, susulan ratusan juta penduduk masih tidak mempunyai penghawa dingin atau kemudahan untuk mengatasi haba.
Saintis dari Universiti Oxford turut memberi amaran peningkatan sederhana dalam jumlah hari panas boleh memberi kesan besar kepada negara yang jarang berdepan suhu tinggi seperti Kanada, Russia dan Finland.
Dalam kajian terbaharu, pasukan penyelidik itu menilai beberapa senario pemanasan global bagi meramalkan kekerapan manusia bakal terdedah kepada suhu yang dianggap terlalu panas atau terlalu sejuk pada masa depan.
Kajian mendapati jumlah penduduk yang mengalami keadaan panas melampau dijangka hampir berganda menjelang 2050, sekiranya suhu purata global meningkat 2 darjah Celsius berbanding zaman pra industri.
Namun, kesan paling ketara dijangka mula dirasai dalam dekad ini, seiring dunia semakin menghampiri had 1.5 darjah Celsius, kata ketua penyelidik, Jesús Lizana kepada AFP.
Pendedahan berpanjangan kepada suhu melampau boleh menjejaskan sistem penyejukan semula jadi tubuh manusia, menyebabkan simptom pening, sakit kepala, kegagalan organ dan kematian.
Haba sering digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan kematian akibat cuaca panas berlaku secara perlahan apabila suhu tinggi dan faktor persekitaran lain bekerjasama untuk melemahkan termostat dalaman badan.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainability itu mengunjurkan 3.79 bilion penduduk dunia bakal terdedah kepada cuaca panas melampau menjelang pertengahan abad.
Keadaan itu dijangka meningkatkan permintaan tenaga untuk penyejukan secara drastik di negara membangun seperti India, Filipina dan Bangladesh.
Perubahan paling ketara juga diramalkan berlaku di negara tropika atau beriklim khatulistiwa, terutama Afrika, dengan Afrika Tengah, Nigeria, Sudan Selatan, Laos dan Brazil dijangka mengalami peningkatan terbesar dalam suhu panas berbahaya.










