KUANTAN: Gelanggang futsal berbumbung Kampung Angkat Madani di Kampung Chengal Lempong, Indera Mahkota di sini kini menjadi kemudahan baharu untuk golongan belia dan komuniti setempat.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, kemudahan bernilai RM500,000 itu dibangunkan melalui peruntukan inisiatif Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur asas, kemudahan awam dan kesejahteraan sosial di kampung-kampung.
“Pembinaan gelanggang futsal berbumbung itu bukan sahaja menyediakan ruang sukan yang lebih selamat dan kondusif, malah menjadi platform membina gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat komuniti setempat.
“Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia sebagai nadi aktiviti kampung dan simbol pemerkasaan komuniti,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Farhan mengetuai tinjauan ke gelanggang berkenaan bersama pasukan Komuniti Madani Indera Mahkota. Turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razihan Adzharuddin.
Dalam sesi itu, pihak ICU Pahang turut memberi taklimat tentang proses pelaksanaan projek merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas kerja-kerja naik taraf dilaksanakan. – UTUSAN










